Pages

Wednesday, December 14, 2011

12 berhimpit di bangsal padi

Oleh AZMAN MD. NOOR


SOFIAN Isa (kanan) melawat Abd. Rahman Md. Rejab dan keluarga di Kampung Rambong Batu Tujuh, Baling, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/AZMAN MD. NOOR


BALING 13 Dis. - Sebuah keluarga 12 beranak terpaksa menjadikan sebuah bekas bangsal padi sebagai tempat berteduh akibat dihimpit kemiskinan hidup.

Bangsal berukuran kira-kira 10 meter luas di Kampung Rambong Batu Tujuh di sini dihuni Abd. Rahman Md. Rejab, 56, dan isterinya, Fauziah Md. Zain, 47, bersama lapan anak dan dua anak saudara.

Abd. Rahman berkata, mereka tinggal di bangsal itu sejak bulan lalu selepas berpindah dari sebuah rumah yang terpaksa dikosongkan kerana bapa saudaranya ingin menduduki semula premis itu.

Katanya, mereka terpaksa membaiki bekas bangsal menyimpan padi itu dengan menggunakan kayu hutan dan buluh bagi membesarkan pondok berkenaan.

"Saya terpaksa mengutip kayu-kayu hutan untuk mendirikan rumah berlantaikan buluh dan beratapkan rumbia sebagai tempat tinggal meskipun tidak selesa," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai alternatif lain untuk berteduh meskipun anak-anaknya terpaksa tidur berhimpit setiap malam akibat ruang pondok itu sempit.

Menurut Abd. Rahman, seorang daripada anaknya, Siti Saidatul Ilani, 19, menghidap sakit buah pinggang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kehidupan keluarga berkenaan amat menyedihkan dan mereka terpaksa menggunakan air bukit untuk kegunaan harian dan lampu minyak tanah bagi menerangi rumah pada waktu malam.

Fauziah berkata, suaminya mengambil upah menoreh getah dan melakukan kerja kampung manakala dia tidak bekerja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Sofian Isa berkata, beliau telah memanjangkan permohonan keluarga itu untuk mendapatkan rumah kepada pihak berkuasa bulan lalu, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan.

"Saya harap ia akan mendapat perhatian memandangkan keadaan mereka yang memerlukan rumah yang lebih luas," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment