Pages

Friday, December 16, 2011

Remaja dipaksa melacur seminggu

Gadis diperdaya suami isteri, teman lelaki

SEREMBAN: Seorang gadis 19 tahun melalui pengalaman ngeri apabila dipaksa menjadi pelacur selama tujuh hari bulan lalu selepas diperdayakan sepasang suami isteri dan teman lelakinya sendiri.
Mangsa dari bandar ini, dipaksa melacurkan diri di hotel bajet sekitar bandar ini dan Rantau serta Bahau di Jempol tetapi berjaya melarikan diri pada 27 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata mangsa yang berasal dari keluarga miskin dan tamat sekolah rendah, bukan saja dikurung dan tidak diberi wang, malah turut didera.

Katanya, teman lelaki mangsa bersama pasangan suami isteri itu berjanji membantu mendapatkannya kerja sebagai pembantu rumah.

“Mangsa bukan saja tidak mendapat pekerjaan, sebaliknya dipaksa menjadi pelacur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hamdan berkata, mangsa berjaya melarikan diri dari hotel bajet di Bahau dan kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.
Berikutan itu, katanya, polis menahan teman lelakinya dan sepasang suami isteri berusia antara 24 hingga 28 tahun yang akan didakwa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi negatif berhubung kejadian pagar sebuah masjid di Mantin dekat sini disimbah cat merah, pagi semalam.

Katanya, kejadian itu disedari dua anggota polis kereta peronda selepas menunaikan solat subuh di masjid itu, kira-kira jam 6 pagi.

“Mereka menemui kesan cat di bahagian dalam dan luar pagar, lalu melaporkan kes itu di Balai Polis Mantin,” katanya.

Setakat ini, katanya, tiada unsur negatif seperti gerakan pelampau berhubung kejadian itu dan polis sedang menyiasat semua kemungkinan, termasuk perasaan tidak puas hati terhadap pengurusan masjid.
Berita Harian Online | Remaja dipaksa melacur seminggu:

No comments:

Post a Comment