Pages

Wednesday, December 21, 2011

Penumpang panik, keadaan dalam bas kelam kabut


TUARAN 20 Dis. - Penumpang bas yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan enam nyawa di Kilometer 8.9 Jalan Tamparuli-Ranau memberitahu mereka mula panik apabila menyedari bas berkenaan tiba-tiba hilang kawalan.

Seorang penumpang, Samsul Salleh, 28, berkata, suasana di dalam itu seterusnya menjadi tidak menentu dan kesemua penumpang menjerit akibat ketakutan.

"Ketika itu rombongan kami sedang asyik bercerita sebelum bas itu tiba-tiba seperti hilang kawalan. Suasana menjadi panik, tidak lama selepas itu, bas kemudian terbabas dan kami semua tercampak ke bahagian depan," katanya yang berasal dari Kampung Melaut Sempurong, Brunei ketika ditemui di Hospital Tuaran di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata kerana sejurus selepas bas terbabit terbabas dan merempuh sebatang pokok keadaan menjadi sunyi dan dia hanya mampu melihat beberapa mangsa merangkak untuk mencari jalan keluar.

"Selepas kejadian itu, saya juga melihat adik saya, Ismawafi, 20, dalam keadaan tidak bermaya dan saya kemudian mengiringinya keluar daripada bas melalui tingkap yang dipecahkan oleh salah seorang penumpang.

"Saya sempat membantu seorang kanak-kanak keluar daripada bas. Saya melihat beberapa mangsa yang terselamat dalam keadaan tidak bermaya. Kami hanya mampu berdoa sambil menunggu bantuan tiba," jelas Samsul yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan tangan.

Samsul berkata, pasukan penyelamat tiba tidak lama selepas itu dan membawa kesemua mangsa termasuk yang masih berada di dalam bas ke Hospital Tuaran.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Nazirul Mubin, 21, berkata, sejurus selepas bas terbabit terbabas dan merempuh pokok, kebanyakan penumpang saling bertindih antara satu sama lain kerana kesemuanya tercampak ke bahagian depan akibat impak pelanggaran yang kuat.

"Sebelum kejadian saya sedang tidur dan tiba-tiba rakan yang duduk di sebelah saya mengejutkan saya lalu bertanya sama ada saya terhidu bau getah hangus.

"Saya kemudian membuka tingkap dan melihat ada tiga buah kenderaan di hadapan bas yang kami naiki, selepas itu bas berkenaan cuba memotong ketiga-tiga kenderaan di hadapan.

"Saya hairan mengapa bas itu tergesa-gesa sampai mahu memotong tiga kenderaan, namun tiba-tiba keadaan menjadi panik apabila bas hilang kawalan dan terbabas," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment