Pages

Wednesday, December 21, 2011

6 maut bas terbabas rempuh pokok



PENUMPANG warga emas Brunei menunggu bantuan dalam kemalangan bas ekspres di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan, Tuaran, semalam. - BERNAMA


KOTA KINABALU 20 Dis. - Enam pelancong warga Brunei maut manakala enam lagi parah selepas bas ekspres yang mereka naiki membawa 33 penumpang dari negara jiran itu hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan di Kilometer 8.9 Jalan Tamparuli-Ranau, Tuaran, hari ini.

Mangsa yang maut ialah Abdul Manan Ishak, 50-an; Pengiran Zahama Zainal, 61; Dayang Norhayati Abdul Hadi, 61; Faridah, 60-an; Sapawi, 60-an dan seorang lagi mangsa wanita belum dikenal pasti.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata, kemalangan berlaku pukul 3.05 petang itu menyebabkan dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang dalam perjalanan ke Hospital Tuaran dan tiga lagi ketika menerima rawatan.

Katanya, bas itu dalam perjalanan pulang dari Tamparuli ke Ranau dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian menyebabkan ia terbalik sebelum melanggar sebatang pokok besar di tepi jalan tersebut.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kemungkinan bas berkenaan mengelak atau bergesel dengan sebuah van setiba di tempat kejadian.

"Selain enam maut, enam lagi cedera parah, 12 orang separuh kritikal manakala sembilan lagi cedera ringan dan dalam pemerhatian pihak hospital. Pemandu bas dan kelindan bas terselamat," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Katanya, sebanyak lima ambulans dikejarkan untuk membawa mangsa yang cedera ke Hospital Tuaran dan Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan lanjut.

''Bas yang membawa semua pelancong dari Brunei itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu, sebelum pulang ke negara mereka Jumaat ini,'' katanya.

Beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan Konsulat Besar Brunei di Sabah bagi mendapatkan dokumentasi mangsa-mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, selain maklumat penuh daripada Jabatan Imigresen.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment