Pages

Friday, December 9, 2011

Mexico gagalkan komplot seludup anak Gaddafi dan keluarga

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


MEXICO CITY 8 Dis. - Mexico menggagalkan satu komplot antarabangsa pada awal September lalu untuk membawa masuk anak lelaki Muammar Gaddafi, Saadi dan keluarganya ke negara ini dengan menggunakan nama dan dokumen palsu, umum pihak berkuasa semalam.

Seorang wanita Kanada yang juga ketua komplot, Cynthia Ann Vanier, seorang lelaki Denmark dan dua warga Mexico ditangkap pada 10 dan 11 November lalu berhubung rancangan untuk membawa masuk Saadi Gaddafi, yang kini berada di Niger, serta keluarganya ke Mexico dengan menggunakan dokumen palsu, rumah perlindungan dan pesawat persendirian.

Pegawai Mexico pada September lalu bertindak berdasarkan maklumat yang mereka terima mengenai rangkaian tersebut yang merancang untuk menempatkan semula Saadi sekeluarga dekat pusat pelancongan popular, Puerto Vallarta di pantai Pasifik, kata Menteri Dalam Negeri, Alejandro Poire.

Sebagai persiapan untuk kedatangan keluarga itu, sindiket jenayah antarabangsa tersebut membeli hartanah di serata Mexico dan membuka akaun bank.

Mereka juga mengatur penerbangan persendirian untuk menyeludup keluarga Saadi serta mewujudkan identiti baru dengan menggunakan nama samaran, termasuk Moah Bejar Sayed dan Amira Sayed Nader, kata pihak berkuasa.

Pengkomplot itu sendiri menggunakan rangkaian penerbangan antara Mexico, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kosovo dan Asia Barat untuk merancang laluan dan mengatur lojistik untuk ketibaan Saadi, kata Poire.

"Pihak berkuasa Mexico berjaya mematahkan rancangan itu, mereka menumpaskan rangkaian penjenayah antarabangsa terlibat dan menangkap anggotanya yang disyaki bertanggungjawab," katanya pada sidang media, semalam.

Rancangan itu bertujuan untuk membawa Saadi, seorang ahli perniagaan dan bekas pemain bola sepak profesional, serta keluarganya ke sebuah kediaman berharga berjuta-juta dolar di kawasan mewah Punta Mita, 40 kilometer dari Puerto Vallarta, lapor akhbar Kanada, National Post.

Peguam Saadi, Nick Kaufman berkata, anak guamnya itu masih berada di Niger, selepas melarikan diri ke negara Afrika itu apabila rejim bapanya tumbang pada Ogos lalu.

Niger berkata, Saadi, 38, akan terus berada di negara itu sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik sekatan perjalanan ke atasnya. - Reuters

No comments:

Post a Comment