Pages

Friday, December 9, 2011

Mesir bentuk Kabinet baru

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KAHERAH 8 Dis. - Perdana Menteri sementara Mesir, Kamal al-Ganzuri semalam membentuk Kabinet baru, yang diberi kuasa lebih luas untuk menangani masalah jenayah, yang semakin meruncing dan ekonomi yang merosot, sementara parti-parti berhaluan Islam terus menguasai kerusi pada pilihan raya Parlimen di negara ini.

Ganzuri mengumumkan barisan Kabinetnya selepas hampir dua minggu tergendala, dilaporkan kerana masalah mencari calon yang sesuai bagi mengisi portfolio sensitif sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau akhirnya memilih ketua polis daerah Giza di Kaherah, Mohammed Ibrahim Yusuf, yang mengangkat sumpah bersama-sama menteri lain di hadapan ketua Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF), Fil Marsyal Hussein Tantawi.

Polis dituduh melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang melancarkan protes anti-Tantawi baru-baru ini, sehingga menyebabkan 43 orang maut, manakala insiden jenayah dilihat semakin meningkat sejak penyingkiran bekas Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Menteri Luar, Mohammed Kamel Amr dikekalkan bersama-sama 12 menteri lain dalam Kabinet sebelum ini, yang meletakkan jawatan pada bulan lepas ekoran protes yang semakin hangat, manakala Mumtaz Said dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Ganzuri menyeru semua parti politik supaya bersatu menyokong kerajaan beliau yang digelar sebagai 'kerajaan penyelamat negara'.

"Kita tidak boleh membiarkan situasi keselamatan dan ekonomi seperti yang ada sekarang," katanya.

Semalam, SCAF juga mengumumkan ia memberikan 'kuasa Presiden' kepada Ganzuri untuk mentadbir negara ini tetapi tanpa kuasa ke atas angkatan bersenjata atau badan kehakiman.

Dalam pada itu, pusingan pertama pilihan raya pertama sejak kejatuhan Mubarak menunjukkan kemenangan besar bagi parti-parti berhaluan Islam yang menewaskan blok-blok liberal yang tidak tersusun dan berpecah-belah.

Parti Ikhwan Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) berkata, ia memenangi 32 daripada 56 kerusi persendirian yang dipertandingkan pada fasa pertama pilihan raya Parlimen pelbagai peringkat itu. - AFP

No comments:

Post a Comment