Pages

Thursday, November 24, 2011

Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes

PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak  gas pemedih mata ketika menyertai protes  di Dataran Tahrir, semalam.
PENUNJUK perasaan veteran memakai topeng bagi mengelak gas pemedih mata ketika menyertai protes di Dataran Tahrir, semalam.
Desak majlis tentera yang memerintah serah kuasa

KAHERAH: Rakyat Mesir beramai-ramai menuju ke Dataran Tahrir semalam untuk perhimpunan besar-besaran menuntut menamatkan pemerintahan tentera, meningkatkan ketegangan selepas pertempuran selama beberapa hari dianggap mengancam pilihan raya perundangan minggu depan.
Aktivis Perikatan Revolusi Belia dan gerakan 6 April menggesa protes bermula di Dataran Tahrir pada 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam di Malaysia).
Kerajaan awam yang dilantik tentera mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin tetapi televisyen memetik sumber Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) sebagai berkata, ia ditolak tentera.

Keputusan kerajaan dan tindakan SCAF disusuli pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Pencegah rusuhan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menggunakan batu dan bom petrol.

Penunjuk perasaan lain membantu mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan di ambulans dekat situ.
Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, pusat demonstrasi yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak Februari lalu, melaungkan slogan mengecam SCAF dan polis.

“Kementerian Dalam Negeri pembunuh,” laung penunjuk perasaan menjelang perhimpunan beramai-ramai itu.

Pasukan perubatan berkata, dua terbunuh awal semalam, menjadikan angka yang terkorban akibat pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan sejak Sabtu lalu meningkat kepada 28.

Dalam usaha menangani krisis itu, SCAF menjemput semua parti politik dan kebangsaan menyertai rundingan penting semalam, lapor media.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin berkata, ia akan mengambil bahagian dalam rundingan itu tetapi tiada petunjuk sama ada pihak yang menggesa bantahan itu akan hadir.

Amerika Syarikat berkata, ia amat bimbang dengan keganasan dan mendesak pilihan raya demokratik manakala Amnesty International menuduh rekod SCAF mencabul hak asasi manusia lebih buruk daripada era Mubarak.

SCAF berkata, ia meminta Kementerian Kehakiman menubuhkan jawatankuasa menyiasat keganasan dan menggesa semua pihak dan rakyat berusaha mengembalikan keamanan, dan mewujudkan persekitaran stabil dengan matlamat mengadakan proses politik. – AFP
Berita Harian Online | Rakyat Mesir sahut gesaan terus protes:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment