Pages

Tuesday, November 1, 2011

Pengawal baru 3 hari bekerja ditembak mati

  • Foto

  • Foto

    ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan kenderaan milik syarikat keselamatan yang ditembak dalam rompakan berhampiran PPUM, Petaling Jaya, semalam.

Penjenayah bermotosikal lepaskan tembakan dalam rompakan di PPUM

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang baru tiga hari bekerja ditembak mati dalam rompakan nekad sebuah kenderaan pacuan empat roda, berhampiran Unit Kecemasan & Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Mohd Burhanuddin Jamaluddin, 23, bersama dua rakan setugas dalam perjalanan ke sebuah bank di Universiti Malaya (UM) selepas mengutip wang tunai RM173,000 dan puluhan cek dari Unit Kewangan pusat perubatan berkenaan.
Bagaimanapun, tiga penjenayah bermotosikal tiba-tiba menghalang laluan kenderaan Toyota Hilux sejurus menghampiri pintu keluar sambil mengacukan pistol dan mengarahkan mereka menyerahkan karung wang. Namun, mangsa yang duduk di sebelah pemandu tidak mengendahkan arahan lalu seorang daripada suspek melepaskan tiga das tembakan dengan dua daripadanya menembusi rusuk kirinya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata suspek turut mengacukan pistol, dipercayai revolver ke arah dua lagi pengawal keselamatan dalam kenderaan berkenaan dan mengugut akan melepaskan tembakan jika berdegil.

“Bimbang dengan keselamatan, seorang pengawal keselamatan di tempat duduk belakang membuka pintu dan suspek merampas karung wang lalu melarikan diri dengan membonceng motosikal menghala ke Petaling Jaya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tempat kejadian.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.
Mangsa yang berlumuran darah kemudian dikejarkan rakan setugas ke Unit Kecemasan & Trauma PPUM tetapi meninggal dunia setengah jam kemudian kerana kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Polis sedang meneliti maklumat saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar rompakan itu. Kita berharap rakaman itu dapat membantu mengenal pasti suspek yang dipercayai warga tempatan dan sedang bersembunyi di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Wan Abdul Bari turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop Polis KL talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

“Suspek dikategorikan sebagai penjenayah berbahaya dan kejam kerana mereka bukan saja memiliki senjata api serta menyamun, malah membunuh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan membunuh dan samun bersenjata api hingga menyebabkan kematian.

Van keselamatan tidak diguna kutip wang

KUALA LUMPUR: Kejadian samun di pekarangan Unit Kecemasan dan Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam mungkin dapat dielakkan jika syarikat keselamatan yang dilantik mengutip wang di pusat perubatan berkenaan menggunakan van keselamatan seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

Dalam kejadian itu, syarikat berkenaan dikatakan buat pertama kali menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk kutipan wang di Unit Kewangan PPUM, sebelum memasukkan wang ke cawangan Bank Islam di Universiti Malaya.

Sumber memberitahu Berita Harian, proses kutipan juga menggunakan rutin sama seperti laluan dan waktu yang hampir sama tanpa mengambil kira mereka mungkin menjadi perhatian dan sasaran penjenayah.

“Malah suspek seperti mengetahui kutipan semalam agak banyak untuk untuk tempoh dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad. Masa kutipan pada setiap Isnin antara jam 10 hingga 10.30 pagi juga mungkin diperhatikan mereka,” katanya.

Berikutan itu, polis menjalankan siasatan sama ada kejadian didalangi orang dalam. Selain itu, faktor mengapa salah seorang pengawal keselamatan yang mempunyai senapang patah (pump-gun) tidak melepaskan tembakan disiasat bagi membolehkan polis melihat kejadian dari pelbagai sudut.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan kenyataan daripada syarikat keselamatan berkenaan gagal selepas beberapa pegawai yang ditemui di pekarangan PPUM mengelak bertemu media.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian mencetuskan suasana panik hingga menyebabkan orang ramai di kawasan berhampiran lokasi bertempiaran lari.

Beliau yang dalam perjalanan keluar dari tempat letak kereta untuk melawat anaknya yang sedang dirawat, mendengar tiga das tembakan yang dilepaskan.

“Pada mulanya saya sangkakan bunyi mercun, namun selepas melihat beberapa orang bertempiaran lari, saya bersembunyi di sebalik dinding bangunan letak kereta.

“Selepas itu saya melihat seorang lelaki tergesa-gesa menaiki motosikal dan memecut ke arah Petaling Jaya sebelum melihat seorang pengawal keselamatan terbaring berlumuran darah dalam kenderaan itu,” katanya.
Berita Harian Online | Pengawal baru 3 hari bekerja ditembak mati:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment