Pages

Tuesday, November 1, 2011

200 nyaris maut kereta api rempuh lori tangki

  • Foto

    NAHAS kereta api merempuh lori tangki di Petagas semalam menyebabkan kesesakan teruk.

  • Foto

    SEORANG penumpang kereta api yang cedera diberikan bantuan.

Gegaran akibat letupan kuat dirasai sekitar Petagas

KOTA KINABALU: Kira-kira 200 penumpang kebanyakannya kakitangan kerajaan nyaris maut apabila kereta api dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki bermuatan 27,000 liter petrol yang menyebabkan letupan kuat di lintasan kereta api haram berhampiran Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, Petagas, dekat sini, semalam.
Letupan itu menyebabkan gegaran kuat di sekitar Petagas dengan asap tebal boleh dilihat dari jarak kira-kira lima kilometer (km), selain kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira 10 km dari Jalan Kota Kinabalu-Putatan dan sebaliknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lapan penumpang kereta api cedera ringan manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera.

Kereta api tiga gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Kereta Api Tanjung Aru, di sini membawa penumpang yang kebanyakannya kakitangan kerajaan yang baru pulang kerja ke Stesen Kereta Api Papar, kira-kira 70 km dari sini.

Kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu dikatakan baru meninggalkan stesen berkenaan pada jam 5 petang dan dipercayai bergerak pada kelajuan antara 40 hingga 50 km sejam tetapi pemandunya dipercayai gagal memberhentikan kenderaan itu kerana agak hampir dengan lori berkenaan.

Ia menyebabkan kepala dan gerabak pertama kereta api itu tergelincir ke kanan landasan sebelum hangus manakala lori itu terputus dua dengan bahagian kepala dan tangkinya terpisah kira-kira 10 meter di kiri dan kanan landasan.
Penumpang yang panik terpaksa memecahkan cermin kereta api dan melompat keluar bagi menyelamatkan diri daripada api yang menjulang setinggi kira-kira 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu lori membelok ke kiri jalan untuk melintasi landasan sebelum membawa bahan api itu ke sebuah stesen minyak, kira-kira 300 meter dari tepi landasan.

“Pemandu lori dipercayai gagal mengesan kereta api berkenaan tetapi sempat melompat keluar dari kenderaannya sejurus sebelum kenderaannya dirempuh kereta api," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jurucakap JKNS berkata, kejadian menyebabkan kepala kereta api seberat kira-kira 60 tan itu tergelincir ke kanan landasan manakala gerabak depan hangus.

Katanya, lintasan kereta api berkenaan dibuat pihak tertentu secara haram, menyebabkan tiada pintu di landasan berkenaan.

Beliau berkata, kereta api itu baru dibeli JKNS dari China mula beroperasi sejak Februari lalu selepas dihentikan selama lima tahun berikutan projek menaik taraf landasan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, berkata bomba yang menerima panggilan pada jam 5.38 petang menghantar lima jentera dengan 35 anggota ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan kira-kira jam 6.45 petang.

Penumpang terpaksa pecah cermin selamat diri

KOTA KINABALU: “Saya duduk di gerabak pertama. Tiba-tiba saya dengar dentuman dan disusuli letupan kuat. Saya nampak api menjulang di sebelah kanan tingkap kereta api. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan cermin untuk melompat keluar.

“Kami takut kereta api meletup. Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada penumpang yang maut atau cedera parah,” luahan penumpang kereta api, Irwan Shamsuddin, 29.

Menceritakan detik cemas itu, Irwan yang bertugas sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam di bandar raya ini, berkata sebelum kejadian, beliau terdengar bunyi amaran kereta api tetapi tidak menyangka akan merempuh lori itu.

“Saya fikir pemandu kereta api hanya memberi amaran kepada orang yang melintas landasan. Bagaimanapun, selepas dentuman dan letupan itu, saya nampak api menjulang kira-kira 30 meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Penumpang, Razmi Jaafar, 37, berkata ketika kejadian beliau dan penumpang di gerabak pertama baru bergerak meninggalkan Stesen Kereta Api Tanjung Aru, dekat sini ke Papar pada jam 5 petang.

“Baru setengah jam bergerak meninggalkan stesen itu tiba-tiba saya terdengar letupan kuat dari arah depan. Saya nampak api menjulang. Saya dan penumpang lain terpaksa memecahkan tingkap untuk melompat keluar.

“Saya dan penumpang lain berebut-rebut keluar. Saya sempat menyelamatkan beberapa penumpang yang lain,” katanya.

Pemandu lori, Pauleh Dausun, 45, berkata ketika menghampiri landasan itu, ada sebuah kenderaan pacuan empat roda di depannya melintasi landasan.

“Saya dengar bunyi hon tetapi menyangka ia dari treler atau kenderaan lain di jalan. Saya hanya menyedari kereta api apabila ia sudah terlalu dekat. Saya cuba menekan pedal minyak. Kepala lori berjaya melepasi landasan tetapi tangki lori tersangkut di landasan.

“Saya terpaksa melompat keluar. Sejurus meninggalkan lori, saya terdengar dentuman dan disusuli dengan letupan kuat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yang tidak cedera bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Liza berkata, ketika kejadian beliau yang memandu kereta baru keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan terlihat lori berkenaan melintasi landasan tanpa ada sebarang tanda pemandunya ingin memberhentikan kenderaannya.

“Tiba-tiba saya nampak kereta api itu terus merempuh bahagian tangki lori itu. Letupannya kuat. Api menjulang tinggi,” katanya.
Berita Harian Online | 200 nyaris maut kereta api rempuh lori tangki:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment