Pages

Monday, October 24, 2011

Gempa gegar timur Turki

ANKARA: Satu gempa bumi berukuran 7.3 magnitud melanda timur Turki, semalam dan institut seismologi negara itu menganggarkan kira-kira 1,000 orang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan puluhan bangunan.

Gegaran gempa terkuat yang melanda negara itu sejak beberapa tahun lalu dan gempa susulan dikesan berlaku di Van, bandar di timur khususnya dihuni oleh suku Kurdis. “Seramai 500 hingga 1,000 orang dianggarkan terbunuh akibat gempa,” kata Pengarah Institut Seismologi Kandili di Istanbul, Profesor Mustafa Erdik. Laporan awal tidak mengemukakan jumlah kemalangan jiwa tetapi ramai dibimbangi terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan pihak berkuasa memberi amaran mereka masih berusaha memantau sejauh mana kerosakan yang berlaku. Menurut agensi berita kerajaan, Anatolia, sekurang-kurangnya 50 orang dikejarkan ke hospital di bandar Van. Datuk bandar Van, Bekir Kaya berkata, dua bangunan di tengah bandar itu runtuh.


“Dua bangunan runtuh di Van. Penduduk cemas. Perkhidmatan komunikasi turut musnah. Kami tidak dapat menghubungi sesiapa,” katanya.

Petugas penyelamat cuba menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam runtuhan bangunan tujuh tingkat di Van, berhampiran dengan sempadan Iran.


Menurut Datuk Bandar Ercis pula, Zulfikar Arapoglu, terdapat ramai mangsa yang terkorban. Beberapa bangunan runtuh dan terlalu banyak kemusnahan dilapor berlaku di bandar itu. “Kami memerlukan bantuan segera, kami perlukan petugas perubatan,” katanya. Gempa dengan ukuran 7.3 magnitud itu melanda timur Turki kira-kira jam 1.41 petang waktu tempatan, kata badan Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat. - AFP

myMetro | Gempa gegar timur Turki:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment