Pages

Friday, September 2, 2011

Somalia bagaikan negara tidak 'bertuan', Masjid Isbahasyiga turut musnah

MOGADISHU 1 Sept. - Mencapai kemerdekaan pada 1 Julai 1960, Somalia kini boleh dianggap sebagai wilayah tidak 'bertuan'.
Di ibu negaranya iaitu Mogadishu sahaja sudah mampu menceritakan segala-galanya yang tersirat tentang negara yang digelar 'Tanduk Afrika' ini.
Konflik bersenjata sejak 1991 masih berbekas di kebanyakan kawasan khususnya pada dinding bangunan yang berlubang akibat kesan tembakan.
Banyak bangunan seperti bangunan Parlimen yang menjadi nadi pemerintahan Somalia termasuk Masjid Isbahasyiga turut hancur dibedil meriam dan tembakan ekoran pergolakan.
Kanak-kanak dan golongan wanita yang meminta sedekah di tepi jalan merupakan pemandangan biasa di sini.
Sementara itu, beberapa laluan jalan raya di sekitar Mogadishu juga tidak terurus dengan sistem aliran trafik yang buruk.
Meskipun kumpulan Al-Shabab 'meredakan' sejenak serangan di Mogadishu dan menguasai sebahagian besar selatan Somalia, ada ketika bunyi tembakan dan bom masih kedengaran di beberapa kawasan di ibu negara itu.
Di Mogadishu sendiri, beberapa lelaki bersenjata AK47 dengan peluru yang melilit badan kelihatan berlegar-legar di sekitar bandar untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.
Sehingga kini, Somalia masih berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan Transisi (TFG) yang bersifat sementara sebelum pergolakan dapat diselesaikan.
Keadaan diburukkan lagi dengan kemarau panjang sejak tiga tahun lalu mengakibatkan haiwan ternakan mati dan tanaman musnah.
Ribuan penduduk yang berada jauh di pedalaman sanggup berjalan kaki ratusan kilometer untuk memasuki Mogadishu bagi mendapatkan bantuan makanan terutama daripada bantuan agensi asing termasuk Malaysia.
Ia menyebabkan Mogadishu sesak dengan kebanyakan gelandangan membina khemah kecil demi kelangsungan hidup.
-utusan

No comments:

Post a Comment