Pages

Friday, September 2, 2011

Polis NY intip penduduk Islam

NEW YORK 1 Sept. – Beberapa bulan selepas serangan 11 September, 2001, Jabatan Polis New York (NYPD) dengan bimbingan seorang pegawai veteran Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengadakan program perisikan untuk memantau kegiatan penduduk Islam termasuk lokasi mereka membeli-belah, makan dan bersolat.
Kewujudan program yang dikenali sebagai Unit Demografi itu dinafikan oleh NYPD tetapi dokumen yang diperoleh oleh Associated Press (AP) menunjukkan unit itu menyimpan senarai ‘keturunan etnik yang diberi perhatian’ dan menerima laporan harian mengenai kehidupan penduduk Islam.
Dokumen itu memberikan gambaran yang jarang diperoleh mengenai program perisikan yang dibentuk dan dikemudikan oleh seorang pegawai CIA.
Kerjasama itu dianggap luar biasa kerana CIA diharamkan daripada menjalankan kegiatan perisikan domestik.
Anggota polis yang beroperasi secara sulit, dikenali sebagai ‘raker’, mengunjungi kedai buku, kafe, perniagaan dan kelab yang diusahakan oleh orang Islam.
Polis mencari perniagaan yang menarik golongan minoriti tertentu seperti syarikat teksi yang mengambil penduduk etnik Pakistan sebagai pemandu.
Mereka diarah supaya memantau perkembangan semasa, meneliti papan kenyataan komuniti di rumah ibadat dan mengenal pasti ‘kawasan panas’.
Unit Demografi yang terdiri daripada 16 anggota polis yang boleh bertutur sekurang-kurangnya lima bahasa ialah satu-satunya pasukan seumpamanya yang beroperasi di AS.
NYPD dengan menggunakan maklumat banci dan pangkalan data kerajaan memetakan kawasan kediaman etnik di New York, New Jersey dan Connecticut.
Apabila CIA melancarkan serangan dengan pesawat tanpa juruterbang atau ‘drone’ di Pakistan, NYPD akan menghantar anggotanya ke kawasan kediaman etnik Pakistan untuk mendengar retorik dan kenyataan yang membidas Amerika, kata pegawai yang terlibat dalam program itu. – Agensi

No comments:

Post a Comment