Pages

Saturday, August 13, 2011

Serik 10 tahun derita di Lombok

SALMAH (kiri) serta ahli keluarga menyambut kedatangan Sanisah (kanan) bersama tiga anak, Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam.
SALMAH (kiri) serta ahli keluarga menyambut kedatangan Sanisah (kanan) bersama tiga anak, Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka, semalam.
Tekad pulang semula ke tanah air demi kehidupan selesa, pendidikan anak

MELAKA: "Saya tidak mahu tinggal di sana lagi (Lombok). Cukuplah, 10 tahun terlalu lama. Saya terlalu rindu nak berpuasa dan beraya dengan emak di sini," luah Sanisah Abu Bakar, 37, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam, dekat sini, tengahari semalam.
Sambil menitiskan air mata, beliau yang terkandas di negara jiran itu bersama suami dan lima anak gara-gara tiada wang sejak 2002, mengakui mendapat hadiah Aidilfitri paling bermakna dalam hidupnya sebaik berjaya menjejakkan kakinya semula di negara ini.
“Hari ini (semalam) saya dapat melihat kembali ke Malaysia dengan selamat dan melihat wajah emak yang saya rindui selepas sekian lama teringin pulang. Allah SWT sudah makbulkan doa saya, Alhamdulillah,” katanya sebak.

Ibunya, Salmah Mahmud, 71, juga seperti hilang kata-kata sebaik melihat kelibat anak perempuannya itu keluar dari balai ketibaan Lapangan Antarabangsa Melaka itu pada kira-kira 12.30 tengahari.

Kedua beranak ini berdakapan erat, sebelum kedengaran tangisan dari mereka sekali gus menjadikan suasana di situ terasa hiba. Mereka terpisah selepas Sanisah mengikut suaminya Widodo Chinasin, 39, balik ke kampung halamannya di Lombok pada Mac 2002.

“Ramadan kali ini cukup bermakna bagi makcik kerana dapat bertemu kembali anak dan cucu selepas 10 tahun berpisah. Makcik rasa sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya doa dimakbulkan Allah SWT.
“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam usaha membawa balik mereka. Mungkin ini adalah hadiah Aidilfitri paling istimewa untuk makcik,” kata Salmah dalam nada agak sebak sejurus pertemuan itu.

Kepulangan Sanisah dan keluarganya itu semalam adalah hasil usaha Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan kerajaan Melaka yang menyalurkan peruntukan RM15,000.

Hadir sama semalam ialah Ketua Menteri merangkap Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Hasil perkahwinan dengan Widodo itu, Sanisah dikurniakan lima anak iaitu Nurshahada, 15; Nurizwan, 13 dan Nurakma Najwa, 11; Nur Aliff Zulkarnain, 9 dan Nurain Asyikin, 6. Bagaimanapun semalam, hanya Nurshahada, Nurizwan dan Nurakma Najwa turut serta dalam penerbangan itu.

Nur Aliff dan Nurain dijadual tiba bersama bapa mereka, esok menaiki feri dari Batam ke Stulang Laut, Johor Bahru.

Mengulas lanjut kepulangannya itu, Sanisah berkata, beliau bertekad kembali ke negara ini kerana mahu semua anaknya mendapat pendidikan sebaik mungkin selepas hidup dalam keadaan menderita di kampung halaman suaminya itu.

Sementara itu, Mohd Ali melahirkan rasa syukur dengan kepulangan Sanisah itu dan berharap usaha DMDI itu dapat menyatukannya semula dengan keluarga di Kuala Linggi.

“Di sana kami tinggal di rumah mentua dan saya bekerja sebagai pembantu sukarelawan kesihatan dengan upah RM200 untuk enam bulan, manakala suami bekerja mekanik menerima gaji RM200 sebulan,” katanya. 
bharian

No comments:

Post a Comment