Pages

Saturday, August 13, 2011

100 pakaian raya pelanggan hangus

ANGGOTA bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai berusaha memadamkan kebakaran rumah, Zainah Talib (gambar kecil) seorang ibu tunggal, di Alor Pongsu, Bagan Serai pagi kelmarin. - Foto Yahya Awang
ANGGOTA bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai berusaha memadamkan kebakaran rumah, Zainah Talib (gambar kecil) seorang ibu tunggal, di Alor Pongsu, Bagan Serai pagi kelmarin. - Foto Yahya Awang

Tukang jahit rugi RM50,000 rumah usang terbakar

BAGAN SERAI: Lagi dua minggu umat Islam akan menyambut Aidilfitri, namun seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya tidak tahu bagaimana nasib mereka yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman usang di Alor Pongsu, di sini musnah dalam kebakaran pagi kelmarin bersama baju raya serta lebih 100 pasang pakaian tempahan pelanggan.
Zainah Talib, 49, yang mengambil upah menjahit, mendakwa kerugian kira-kira RM50,000 dalam kejadian jam 10.45 pagi itu selepas gagal menyelamatkan sebarang harta benda, termasuk baju raya, dokumen penting, kelengkapan rumah, tiga mesin jahit serta sebuah Vespa.
“Kejadian berlaku ketika saya sedang memasak di dapur untuk hidangan berbuka. Terkejut lihat api muncul entah dari mana menyambar dinding rumah. Saya hanya sempat berlari keluar dan menjerit sebelum orang ramai cuba menolong tetapi tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.

“Nasib baik tiga anak, Abdul Latif Idris, 12, serta dua kakaknya, Norazila, 13, dan Norazida, 15, tiada di rumah kerana sedang bersekolah di Sekolah Agama Ridzuaniah, Teluk Medan," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Beliau bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat, tetapi sedih kerana semua baju raya serta 100 pasang pakaian tempahan pelanggan tidak sempat diselamatkan dan kini buntu memikirkan masa depan selain bagaimana mahu menyambut hari raya.

“Macam mana nak raya, kami sudah hilang tempat berlindung," katanya.
Sementara itu Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Mohamad Othman Dahalan, berkata tindakan pantas anggotanya berjaya mengelakkan api daripada merebak ke bangunan tadika KEMAS dan tadika Islam. -bharian

No comments:

Post a Comment