Pages

Tuesday, August 16, 2011

Protes sambut kelibat Hosni

KAHERAH: Pertempuran jalanan tercetus semalam ketika Presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, kembali ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan membunuh penunjuk perasaan.
Hosni adalah pemimpin Arab pertama dibicarakan sejak kebangkitan rakyat tercetus di Timur Tengah.

Sebuah helikopter mendarat berhampiran mahkamah dan sejurus kemudian, Hosni, 83 dibawa menggunakan katil beroda dan ditempatkan dalam kandang tertuduh untuk kali kedua.

Ratusan polis antirusuhan mengawal keadaan, namun pergaduhan tercetus di antara penyokong Hosni yang berada di luar bangunan mahkamah dengan penentangnya yang menuntut kematian penunjuk perasaan di tangan pasukan keselamatan Mesir diberi keadilan.

Ketika Hosni yang uzur ditolak di atas katilnya, penunjuk perasaan berteriak: “Si pencuri sudah sampai!” dan disambut dengan siulan daripada penyokongnya.

Penunjuk perasaan lain pula menjerit: “Hakim, bangkitlah! Hosni membunuh saudara saya! Hukumlah pembunuh itu!” Penyokong Hosni melontar batu ke arah penyokong reformasi memaksa polis bertindak mengejar mereka supaya bersurai.
Dalam mahkamah yang padat dengan peguam, Hosni kelihatan tenang dan tegas.

Tanpa memakai pakaian banduan, tangan kirinya kelihatan dicucuk jarum bagi membolehkan ubat disalurkan kepadanya.
< Dia bercakap seketika dengan dua anaknya, Alaa dan Gamal - juga diletakkan dalam kandang sama dan berdepan tuduhan sama.

Sambil menghalang kamera merakam Hosni, seorang daripada mereka dilihat mencium dahi bekas diktator itu bagi menenangkannya.

Perbicaraan kali ini akan menentukan sama ada ketua Majlis Pemerintahan Tentera boleh hadir sebagai saksi.

Peguam bela berkata, sebarang kenyataan daripada Panglima Medan Mohamed Hussein Tantawi terhadap peranan Hosni menekan kebangkitan rakyat selama 18 hari itu bakal menentukan nasibnya.

Mohamed Hussein - berkhidmat selama dua dekad sebagai Menteri Pertahanan di bawah Hosni - kini mengetuai Majlis Pemerintahan Tentera selepas diktator itu disingkirkan pada 11 Februari lalu. Peguam Hosni, Farid al-Deeb, meminta perbicaraan itu ditangguhkan bagi memberi masa kepadanya meneliti semua dokumen dikemukakan di mahkamah.

Hakim kemudian mengarahkan perbicaraan itu berhenti rehat seketika bagi membolehkannya memberi pertimbangan kepada permohonan berkenaan.

Kira-kira 850 terbunuh dan lebih 6,000 cedera dalam kebangkitan rakyat sebelum Hosni berundur. - Reuters, hmetro

No comments:

Post a Comment