Pages

Friday, August 12, 2011

Pemandu wanita nyaris terbakar

JERANTUT: Seorang pemandu wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar berdekatan Pasar Borong Jerantut di Kilometer 4, Jalan Jerantut-Temerloh, kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Kereta Perodua Kancil yang dipandu wanita berkenaan dari arah Temerloh dipercayai gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan dan terlanggar sebuah kereta Proton Iswara sebelum merempuh van.

Mangsa, Nik Selmi Firdaus Nik Mohd Suhaimi, 29, cedera parah di muka akibat kemalangan itu dan dirawat di Hospital Temerloh.

Pemandu kereta Proton Iswara, Mohd Azmi Abu Bakar, 34, yang cedera di dahi, berkata beliau yang datang dari arah Jerantut, gagal mengelak kereta Perodua Kancil yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.

“Selepas kereta itu melanggar kereta saya, kereta itu terus merempuh van yang berada di belakang saya.

“Kereta saya berpusing disebabkan pelanggaran itu dan sempat melihat Perodua Kancil itu terbakar,” katanya.


Pemandu van, Eng Kuan Tong, 60, berkata beliau dalam perjalanan pulang dari Jerantut ke rumahnya di Bentong dan tidak sempat mengelak daripada dirempuh kereta Nik Selmi.

“Saya nampak kereta Perodua Kancil dari arah Temerloh itu melanggar kereta di hadapan saya dan turut melanggar van saya. Keadaan berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu, kereta berkenaan terbakar.
“Mujur, pemandu wanita itu sempat keluar keretanya beberapa saat sebelum terbakar dan dia turut dibantu orang ramai,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan, Zakaria Kasim berkata, kejadian itu dipercayai disebabkan pemandu kereta Perodua Kancil itu hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu kereta Perodua Kancil yang juga seorang wanita itu dipindahkan ke Hospital Temerloh dari Hospital Jerantut,” katanya.-hmetro

No comments:

Post a Comment