Pages

Sunday, August 21, 2011

Maut pada hari ulang tahun

NGERI... kereta dinaiki Zazemi remuk akibat kemalangan. Gambar kecil,  Aniq Arshad.
NGERI... kereta dinaiki Zazemi remuk akibat kemalangan. Gambar kecil, Aniq Arshad.
JELI: “Naluri keibuan saya tersentuh tatkala menerima berita sedih mengenai kematian anak kerana tidak sangka dia meninggalkan kami semua pada sambutan hari lahirnya ke-18, hari ini (semalam), selepas terbabit dalam kemalangan.
“Paling tidak dapat dilupakan apabila dia membelikan saya kek sempena ulang tahun kelahiran saya ke-51 dan kami sempat meraikannya bersama malam tadi (kelmarin),” kata Mariam Abdul Rahim, 51, ibu bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Aniq Arshad Mohd Roseli, yang maut dalam kemalangan, semalam.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi semalam, perjalanan tiga sahabat untuk mengambil ikan kelah di Banding, Grik, Perak, dengan menaiki kenderaan masing-masing secara berkonvoi bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori.

Kejadian di Kilometer 88.3, Jalan Kota Bharu-Machang-Grik berdekatan Gemang, Ayer Lanas, dekat sini, menyebabkan motosikal ditunggang Aniq Arshad dan Perodua Kancil dipandu anggota tentera dari 8 Briged Kem Pengkalan Chepa, Zazemi Mat Jusoh, 27, berlanggar sebuah lori dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pertembungan dengan sebuah lori seberat 10 tan yang datang dari arah Butterworth, Pulau Pinang ke Kota Bharu.

Mariam berkata, dia terkejut sebaik mendapat berita kemalangan membabitkan anak ketujuh daripada sembilan beradik terbabit kerana menyangka anaknya pergi ke Banding menaiki sebuah kereta bersama rakannya.


“Saya hanya dimaklumkan arwah dalam perjalanan ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan ikan kelah yang dibeli daripada Orang Asli. Sebab itu saya memberi keizinan kerana ditemani beberapa rakan lain.

“Namun, sangkaan saya yang dia menaiki kereta nyata meleset selepas dimaklumkan dia maut dalam kemalangan ketika menunggang motosikal berasingan dengan rakannya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jeli, di sini, semalam.

Beliau yang juga peniaga kedai dobi berkata, sejak tamat menjalani latihan PLKN di Kem Cancun Park, Pasir Mas, arwah jarang dilihat ke luar rumah, selain banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

“Cuma ketika kami sama-sama menyambut hari jadi malam tadi (kelmarin), arwah banyak berdiam diri. Paling tidak dapat dilupakan, sambil menghulurkan tangan, dia merenung tajam ke arah saya,” katanya.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki perlakuan pelik, meskipun perbuatan itu (merenung mata) jarang dilakukannya terhadap saya,” katanya yang ditemani suami, Mohd Roseli Ismail, 55.

Sementara itu, isteri Allahyarham Koperal Zazemi, Zanariah Mohd Zain, 25, berkata dia sedih mengenangkan nasib suaminya, selain tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama tahun ini.

“Banyak kenangan ditinggalkan sepanjang tempoh empat tahun perkahwinan kami hingga dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Zakirah Najwa, 3. Sebelum kejadian pun, arwah meninggalkan pesan dan ia menjadi rahsia saya.

“Kami bertemu pagi tadi ketika bersahur dan saya sempat menyediakan juadah sahur ikan kukus goreng masak kicap. Tidak sangka ia menjadi permintaan terakhir arwah,” katanya.

Katanya, arwah baru berpindah ke kem terbabit dua bulan lalu dan dilihat berperangai pelik kerana memilih baju raya anaknya ketika ke pasar raya dekat Machang, beberapa hari lalu, sedangkan sebelum ini perlakuan seperti itu jarang ditunjukkan.-hmetro

No comments:

Post a Comment