Pages

Wednesday, July 20, 2011

Wakil Gaddafi berunding dengan pegawai AS usaha ke arah dialog

TRIPOLI: Wakil-wakil pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, mengadakan rundingan dengan para pegawai Amerika Syarikat di Tunisia sepanjang hujung minggu lalu, kata seorang pegawai pemerintah Libya, sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai langkah pertama ke arah sebuah dialog.

Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika lewat kelmarin mengesahkan pertemuan itu tetapi berkata ia hanya untuk mengemukakan mesej jelas dan kukuh bahawa Encik Gaddafi harus meletak jawatan.

Pegawai itu berkata ia bukan satu sesi rundingan dan tiada mesyuarat mendatang yang dirancangkan.

Pertemuan itu dibuat selepas satu keputusan oleh Amerika dan lebih 30 negara lain di Istanbul, pada Jumaat lalu, untuk mengiktiraf para pemberontak di timur Libya yang sedang bertempur dengan tentera Encik Gaddafi sebagai wakil-wakil sah negara itu, tambah pegawai tersebut, atas syarat namanya tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa mendedahkan mesyuarat itu kepada awam.

Jurucakap Libya, Encik Moussa Ibrahim, memberitahu pemberita di Tripoli bahawa pertemuan itu diadakan pada Sabtu lalu di Tunisia tetapi beliau enggan mendedahkan senarai pegawai yang terbabit dalam mesyuarat.

'Ini adalah langkah pertama dan kami mahu langkah-langkah berikutnya,' kata beliau.

'Kami tidak mahu terperangkap dalam masa lalu; kami mahu bergerak ke depan setiap masa,' kata beliau kepada pemberita di koridor sebuah hotel di tempat penginapan wartawan asing di sana.

Beliau menyifatkannya sebagai satu 'langkah pertama (ke arah) dialog' untuk memulihkan hubungan antara kedua-dua negara tersebut. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment