Pages

Wednesday, July 20, 2011

Beli merpati dibayar dengan Proton Wira

MERPATI MEMBAWA REZEKI: Encik Ahmad bersama kereta Proton Wira yang ditawarkan kepadanya bagi merpati Pomeranian Pouter yang dibela di rumahnya di Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu, kelmarin. -- Foto BHM

KUALA TERENGGANU: Gara-gara burung merpati belaan Encik Ahmad Hashim daripada jenis eksotik, seorang peminat burung merpati sanggup menyerahkan kereta Proton Wiranya bernilai RM20,000 ($8,094) dan menambah wang tunai RM1,000 bagi mendapatkan dua pasang burung itu Mac lalu.

Bagaimanapun, Encik Ahmad, 44 tahun, berkata dua pasang merpati yang ditukar dengan kereta itu bukan sembarangan burung, kerana ia baka Pomeranian Pouter, yang diimport dari Amerika Syarikat dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi antara RM2,000 hingga RM2,500 seekor bagi anak burung tersebut yang berumur kurang empat bulan.

'Seorang peminat burung merpati sanggup menyerahkan kereta Proton Wira bernilai RM20,000 dan menambah wang tunai RM1,000 bagi mendapatkan dua pasang burung merpati eksotik yang saya bela, Mac lalu,' kata beliau.

Menurutnya, walaupun harga burung tersebut tidak semahal ayam serama, yang boleh mencecah RM30,000 seekor, ia mempunyai keunikan tersendiri dan dikatakan lebih hebat dan cantik berbanding ayam serama, terutamanya apabila merpati itu membonjolkan dadanya seperti bola dan bulunya mengerbang melindungi kaki yang panjangnya mencecah sehingga 12 sentimeter itu.

Encik Ahmad berkata beliau memelihara merpati dari Eropah, Amerika dan Pakistan sejak lima tahun lalu sebagai hobi, yang secara sambilan menjadi sumber pendapatan tambahan baginya.

'Saya tidak menghadapi masalah memasarkan burung ini kerana turut menggunakan Internet, selain promosi mulut ke mulut di kalangan pelanggan saya.

'Saya mampu menjual dua hingga tiga pasang merpati baka import ini setiap bulan dengan harga antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi sepasang anak yang ditetaskan di sini dan berumur kurang empat bulan,' dedahnya. -- BHM.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment