Pages

Friday, July 15, 2011

Penduduk dedah kisah misteri



KULIM - Beberapa hari lalu penduduk di Taman Sri Kulim dikejutkan dengan berita jelmaan wanita berselendang hitam yang berjalan sambil mendukung batu nisan.

Selain itu, beberapa kejadian aneh turut dilaporkan berlaku di sekitar kawasan berkenaan. Walaupun ia tidak dihebahkan tetapi ia diakui oleh penduduk.

Bekas Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman itu, Ahmad Jusoh berkata, sebelum ini beberapa penduduk pernah terserempak dengan jelmaan itu tetapi ia tidak diendahkan.

Walaupun ia mengerikan tetapi mereka yang mengalaminya tidak menceritakan kepada penduduk lain sehinggalah Sinar Harian mengupas kisah misteri itu.

“Kejadian pernah berlaku pada seorang penduduk di taman ini. Kira-kira jam 12.30 pagi, dia terdengar suara wanita memberi salam di luar rumahnya.

“Dia didatangi seorang wanita yang sangat cantik. Wanita itu memaklumkan bahawa dia datang dari Pahang dan ingin ke rumah saudaranya di taman itu.

“Penduduk berkenaan kemudiannya menunjukkan arah tetapi wanita itu meminta supaya menghantarnya,” katanya.

Menurutnya, atas dasar simpati, penduduk itu kemudiannya akur kehendak wanita terbabit.

“Ketika berjalan, wanita itu memaklumkan bahawa tapak asrama berdekatan taman itu dulunya merupakan kawasan hutan. Bertambah pelik lagi, dia tiba-tiba sahaja bercerita mengenai kewujudan syaitan, jin dan iblis.

“Apabila sampai di satu selekoh, penduduk itu dengan tiba-tiba tercium bau busuk dan apabila menoleh belakang dia mendapati wanita tadi sudah tidak ada di belakangnya lagi,” katanya.

Ahmad Jusoh berkata, dalam keadaan tergamam, penduduk itu kemudiannya terkejut apabila dia ternampak wanita terbabit terbang lalu menuju ke arah hutan berdekatan.

Selain daripada kisah tadi, penduduk lain juga pernah terserempak dengan jelmaan wanita berkenaan yang sering bertenggek di tepi jalan atau di atas pokok.

Sinar Harian kemudiannya berjumpa seorang pengamal perubatan tradisional yang tinggal di Kampung Padang Tembak dan tidak mahu namanya disiarkan bagi mendapatkan penjelasan tentang kemunculan jelmaan itu.

Menurutnya, sebelum pembangunan dijalankan di taman itu, tapak pembinaan asrama yang sedia hari ini merupakan kawasan kampung. Wanita jelmaan itu tinggal di hujung kampung kerana dipulaukan oleh penduduk. Dia sangat cantik dan menjadi kegilaan ramai lelaki di kampung itu.

“Memandangkan dia terlalu cantik, ramai dalam kalangan penduduk kampung terutama wanita membenci dirinya selain menuduhnya membela jembalang dan pelesit.

“Ketika hamil dua bulan, suaminya meninggal dunia. Wanita malang itu duduk di rumah dan tidak berani keluar pada waktu siang kerana dikhuatiri dicerca oleh penduduk kampung,” katanya.

Malangnya, wanita itu meninggal dunia bersama anaknya ketika dia bersalin.

“Apa yang lebih menyedihkan tidak ada siapa mempedulikan tentang kematian dua beranak itu dan mayatnya tidak diurus dan dikebumikan.

“Walaupun penduduk kampung terhidu bau busuk dari rumah wanita itu tetapi mereka tidak mengendahkannya sehinggalah rumah mereka reput dan akhirnya menyembah bumi,” katanya.
SH

2 comments:

  1. rasa cam karut je citer tu...kalu wanita jelmaan tu muslim n kampung tu jugak penduduknye muslim mana mungkin keadaan ini berlaku...mana ada masyarkat yg cam tu...ade ke sejarah kg xde tok ketua n tok imam atau paling x org yg punye rasa belas n ilmu fardhu kifayah...ishk..x logik.

    ReplyDelete
  2. tak caye....sbb aku asal dan d besarkan kt area kg sebelah tu... tak pernah dngr pun cite cam tu tok moh...tok bomoh mane plak ni kt kg padang tembak kulim...?cuba habaq mai sat...kih..kih..kih...

    ReplyDelete