Pages

Friday, July 15, 2011

Anak cari bapa kandung

MUAR – Seorang wanita terpaksa menunda majlis pernikahannya berikutan gagal mengesan bapa kandungnya, Ngadiman Dollah, 50.

Aishah Ngadiman, 23, berkata, majlis :pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan Julai ini tidak dapat dilaksanakan sebagaimana perancangan asal.

“Kini, saya menetap bersama keluarga angkat di Kampung Teluk Kemang, Sungai Terap, Muar.

“Manakala, keluarga kandung tinggal di Jalan Pantai Emas Klebang berhampiran Klebang Besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak lagi tinggal sebumbung bersama keluarganya sejak Januari lalu, kerana bekerja di daerah ini.

“Pada 28 Jun lalu, saya bersama bakal suami, Kasim Yahya, 31, ke Melaka untuk mencari keluarga kandung.

“Namun, saya terkejut setelah mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni selain ditumbuhi lalang dan semak,” katanya.

Aishah berkata, dia menjadi bingung apabila keluarga menghilang secara tiba-tiba, tambahan pula tarikh pernikahannya semakin hampir.

“Kami turut berusaha bertanya kepada jiran terdekat bagi mendapatkan alamat terbaru keluarga, namun mereka juga tidak mengetahui keluarga saya sudah berpindah dari kampung berkenaan.

“Kasim pernah menelefon keluarga saya untuk meminta sijil akuan nikah ibu bapa saya dan mereka turut berjanji akan menghantar dokumen berkenaan melalui pos, namun sehingga kini saya masih belum menerimanya,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, dia tidak berputus asa menjejaki keluarganya dengan melakukan pelbagai usaha.

“Ini termasuk mengupah saudara terdekat untuk menjejaki keluarganya tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan positif,” katanya.

Walaupun begitu katanya, dia berharap bapanya dapat tampil bagi melancarkan proses pernikahan dan dia turut merindui keluarganya yang terpisah hampir lima bulan lalu.

“Saya mohon kerjasama daripada ayah agar dapat menghubungi saya di talian 0176099571 atau datang ke Pejabat Agama Islam Daerah Muar dengan segera bagi memudahkan urusan pernikahan kami,” katanya.

Sementara itu, Kasim berkata, dia turut tidak ketinggalan membantu Aishah menjejaki keluarganya dengan mencari di sekitar Johor dan Melaka dan pernah beberapa kali .membuat panggilan telefon kepada bakal mentua tetapi tidak dijawab.SH

No comments:

Post a Comment