Pages

Friday, July 29, 2011

Medan Samudera musnah terbakar



Keadaan salah sebuah kedai di Medan Samudera yang musnah terbakar di Banda Hilir, Melaka, semalam.


MELAKA 28 Julai – Pusat menjual pelbagai produk kraftangan, pakaian dan makanan tradisional terkenal di negeri ini, Medan Samudera di Jalan Quayside Banda Hilir di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini.

Kebakaran bermula pukul 5.19 pagi itu mengakibatkan 25 daripada 50 buah kedai menjual pelbagai produk kraftangan dan pakaian di tingkat bawah medan selera itu musnah.

Turut terjejas, 50 buah lot gerai makanan di tingkat atas apabila asap hitam menyelubungi bangunan dua tingkat itu.

Difahamkan, 25 lagi premis kraftangan di bahagian belakang tingkat bawah bangunan itu tidak mengalami kerosakan.

Kejadian berlaku ketika premis itu dipenuhi produk kraftangan dan pakaian yang baru ditempah oleh peniaga-peniaga tersebut sempena Ramadan minggu depan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pusat perniagaan itu tidak beroperasi pada waktu kejadian.

Pengerusi Penjaja dan Peniaga Kecil Usahawan Banda Hilir, Mohd. Rujahan Sidik, 48, yang juga peniaga capal dan kraftangan di situ berkata, dia menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 5.40 pagi tadi sebaik sahaja dihubungi seorang rakan.

“Saya terus menjadi lemah apabila memikirkan stok barang yang baru ditempah beberapa hari lalu sebagai persediaan untuk jualan di bazar Ramadan Taman Cempaka, Ahad ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Ekoran kejadian itu katanya, dia yang telah berniaga di Medan Samudera sejak bangunan itu dibuka lapan tahun lalu menganggarkan kerugian dialami hampir RM300,000.

Peniaga kraftangan dan kuih tradisional, Nor Hasikin Zaini, 36, pula berkata, dia sukar menerima kenyataan perniagaan yang diusahakan hasil titik peluhnya sendiri musnah dalam sekelip mata.

Lebih malang, Hasikin berkata, dia tidak tahu bagaimana untuk mencari modal bagi memulakan semula perniagaan kerana tidak mempunyai perlindungan insurans. Tambahnya, kerugian dianggarkan hampir RM100,000.

Mohd. Fazil Abdullah, 45, yang juga peniaga kraftangan berkata, kejadian itu mengakibatkan dia kerugian RM200,000 kerana premisnya dipenuhi barangan yang baru ditempah daripada pembekal untuk perniagaan sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. Tahir yang mengetuai operasi berkata, empat jentera dengan kekuatan 30 anggota dari Jalan Kubu, Ayer Keroh dan Bukit Katil dikerahkan ke tempat kejadian.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 8.45 pagi dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment