Pages

Friday, July 29, 2011

4 maut, 2 parah, 3 cedera ringan



Keadaan bahagian hadapan bas ekspres remuk selepas berlanggar dengan sebuah lori treler yang mengakibat empat orang maut di Bagan Serai, Perak, malam kelmarin.


BAGAN SERAI 28 Julai – Empat terbunuh manakala dua parah dan tiga cedera ringan apabila sebuah treler terbabas lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 201.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kira-kira lima kilometer ke susur keluar Kamunting dekat sini, tengah malam tadi.

Mereka yang maut ialah anggota polis, Konstabel Abdul Shahreer Abu Hassan, 23, dan anak lelakinya, Mohamad Faris Daniel, berusia 20 bulan selain pemandu dan kelindan treler iaitu A. Yugeswara Rao, 25, dan K. Supramaniam, 30.

Abdul Shahreer, Yugeswara Rao dan Supramaniam mati di tempat kejadian manakala Mohamad Faris Daniel yang tercampak keluar dari bas itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping (HT).

Dua yang cedera parah ialah isteri Abdul Shahreer, Fauziah Md. Moktar, 24, dan pemandu bas, Mohamad Azizi Abdul Rahman, 30-an, manakala tiga cedera ringan ialah dua warganegara Indonesia dikenali sebagai Jasmani, 41, dan Hadiyanto, 46, serta seorang anggota tentera, Jebat Abdul Samarudin, 22. Kesemua mereka sedang dirawat di HT.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, dalam kejadian pukul 12.25 tengah malam, sebuah treler dari arah selatan menuju ke utara dipercayai terbabas ke kanan lebuh raya lalu merempuh penghadang lebuh raya dan bas ekspres S&S Internasional yang sedang dalam perjalanan dari Perlis ke Johor Bahru.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, tiga penumpang bas ekspres iaitu tiga beranak Abdul Shahreer, Fauziah dan anak pasangan tersebut, Mohamad Faris Daniel tercampak keluar dari bas yang dinaiki oleh 30 penumpang.

“Anggota Bomba dan Penyelamat dari sini, Taiping dan Kamunting dipanggil untuk mengeluarkan Yugeswara Rao dan Supramaniam serta Mohamad Azizi yang tersepit dalam treler dan bas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Fauzi berkata, ketiga-tiga mangsa yang mati di tempat kejadian dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk bedah siasat dan dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, jenazah Abdul Shahreer dan anaknya, Mohamad Faris Daniel dikafan dan disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini sebelum dikebumikan di kampung halaman mereka di Kuala Nerang, Kedah, petang ini.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment