Pages

Tuesday, July 19, 2011

Keluarga Muslim Contoh!

Cerita ini saya dapati selepas saya menghadiri sebuah usrah umum baru-baru ini. Ustazah menceritakan kisah ini selepas melihat sesuatu yang menakjubkan semasa menziarahi rumah sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah seorang guru biasa.

Beliau tiba di rumah sahabatnya ini pada waktu tengah hari tetapi belum masuk waktu Zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walaubagaimanapun, beberapa orang daripada 8 orang anak mereka (kesemuanya lelaki; yang paling tua Tingkatan 1 manakala yang paling muda masih bayi) baru pulang dari sekolah.

Waktu zohor masuk. Abang yang tua mengajak kesemua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri menjadi imam. Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur dalam lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhuk dan solat bersama jemaah. Dia ikut rukuk apabila imam rukuk, dia ikut sujud apabila imam sujud dan apabila selesai imam memberi salam, dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah, adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk!


Ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-disuruh.

Ceritanya tidak berakhir di situ. Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, Ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan Subuh berkumandang kalau saya tidak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air...dilihatnya anak-anak kecil semuanya sedang sibuk berwudhuk. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke-7 entah berapa tahun sibuk mengambil wudhuk di bilik air pada waktu subuh yang paling awal.

Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir. Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk Ustazah). Sewaktu hendak mula solat, si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat.

Dan sekali lagi cerita tidak berakhir di situ. Ustazah tersebut bercadang ingin sambung tidur kerana penat musafirsemalamnya tidak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila mahu melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, “Anak-anak, hari ini ayah nak bagi kuliah mengenai solat dan puasa...” Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah, apabila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya, dia menjawab bahawa ia persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya Al-Fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki; akan menjadi pemimpin, pasangan suami isteri ini tidak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman.

Cuba kita tanya diri kita sendiri, berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga; berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk; berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat dan memimpin adik-adik mereka; berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa sehingga taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan morang yang lebih dewasa? Subhanallah walhamdulillah... Moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua.

P/s: Semoga keluarga kami dapat mencontohinya, ameen Ya Rabbal A'lameen

Semoga beroleh manfaat dan dirahmati Allah.

Keluarga Muslim Contoh! | baitulmuslim.com

No comments:

Post a Comment