Pages

Sunday, July 17, 2011

Isteri, anak tercampak

SEREMBAN: “Apabila tersedar daripada kemalangan itu, saya menangis dan terus keluar dari kenderaan untuk mencari isteri dan anak,” kata Che Rusdi Ahamad, 37, suami dan juga bapa kepada dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 252.9 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara berdekatan susur masuk Plaza Tol Senawang, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, sebaik lorinya berhenti berpusing, isterinya, Dalila Hashim, 40, dan anak, Che Najwan Haniff, 12 bulan, ditemui terbaring tidak bergerak beberapa meter dari kenderaan dipandunya.


“Ketika kejadian, saya berbual bersama isteri yang memangku Najwan di riba sebelum sebuah kereta yang cuba memotong terbabas dan merempuh bahagian depan sebelah kanan lori yang saya pandu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, semalam.

Berikutan itu, lori membawa makanan sejuk beku itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali hingga menyebabkan Dalila dan bayinya tercampak keluar.


“Sebaik lori berhenti berpusing, saya dapati mereka berdua tiada di sisi, ketika itu saya menangis kerana tahu perkara buruk pasti menimpa mereka, terutama mengingatkan anak yang baru berusia 12 bulan.


“Jantung saya seakan-akan terhenti apabila melihat mayat anak dan isteri terbaring dalam keadaan menyayat hati dengan kepala isteri berlumuran darah dan anak saya penuh luka.

“Kini saya kehilangan tiga orang tersayang sekali gus, termasuk bayi yang isteri kandung, namun saya reda menerima ujian Tuhan,” katanya.


Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Serdang, Selangor selepas menghantar barang sejuk beku ke Melaka.

Sementara itu, anak kedua Dalila bersama suami pertama, Nur Nabila Huda Mohd Amir, 19, berkata dia tidak mengetahui kejadian itu hinggalah ayah tirinya (Che Rusdi) menghubungi menanyakan mahu mengebumikan jenazah ibu mereka.


“Saya pada mulanya tidak memahami apa maksud ayah menanyakan soalan itu, hinggalah diberitahu ibu dan adik meninggal dunia dalam kemalangan.


“Saya yang ketika itu menjalani latihan praktikal di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur kemudian bergegas ke HTJS,” katanya.


Menurutnya, dia dan tiga beradik yang lain sudah empat tahun tidak menyambut Aidilfitri bersama ibunya kerana kerap beraya di kampung sebelah bapa.


“Ibu beria-ria mengajak saya serta abang dan dua lagi adik beraya di kampungnya di Segamat tahun ini, namun saya tidak sempat memberitahunya kami bersetuju selepas bapa memberi kebenaran.


“Kebelakangan ini, saya kerap berfikir dan merancang untuk keluar membeli persiapan Aidilfitri bersama-sama, terutama pakaian baru untuk adik (Najwan) kerana kami sangat rapat dengannya,” katanya.


Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di kampung Dalila, di Tanah Perkuburan Kampung Kenangan GSA Gemeh, Jementah, Segamat, Johor semalam.


Akhbar ini semalam melaporkan, seorang wanita mengandung lima bulan terbunuh bersama bayi lelakinya berusia setahun selepas tercampak keluar dari lori dinaiki mereka dalam kemalangan.


Dalam kejadian jam 5.45 petang, Dalila bersama Che Rusdi dan Che Najwan dalam perjalanan menuju ke Serdang selepas selesai menghantar bekalan makanan sejuk beku di Melaka.


Jurucakap polis berkata, siasatan mendapati lori dipandu Che Rusdi dipercayai hilang kawalan apabila dilanggar kereta Proton Perdana di laluan sama.


“Keadaan itu menyebabkan lori terbabas ke bahu jalan sebelum kedua-dua penumpang tercampak keluar,” katanya.

myMetroIsteri, anak tercampak

No comments:

Post a Comment