Pages

Sunday, July 17, 2011

Dihempap lori pasir


HANCUR... keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dihempap lori pasir, semalam.
HANCUR... keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dihempap lori pasir, semalam.


KULIM: Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan anak sulung maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama suami dan bapa mentuanya dihempap sebuah lori pasir yang hilang kawalan di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Sharlini Yusof, 26, dipercayai mati di tempat kejadian manakala suaminya yang memandu kenderaan, Norhusaini Hamdan, 26, dan bapa mentuanya, Hamdan Abdullah, 61, cedera.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat ketika lori pasir terbabit dalam perjalanan dari arah Air Merah menghala ke Taman Selasih dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Menurutnya, lori sarat dengan muatan pasir itu dipercayai mahu membelok ke kiri untuk ke Taman Selasih tetapi terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum menghempap kenderaan dinaiki mangsa.



“Ketika kejadian, mangsa berada di tempat duduk belakang dalam kenderaan terbabit yang menunggu lampu hijau di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih.


“Tiba-tiba sebuah lori penuh dengan muatan pasir hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan dan terbalik, manakala pasir dibawanya menimbus kenderaan dinaiki mangsa.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian bergegas untuk menyelamatkan mangsa dan membantu mengorek pasir yang menimbus kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, orang ramai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dipanggil untuk menghulurkan bantuan sebelum mengeluarkan mangsa yang tersepit dan membawa mereka ke Hospital Kulim.

Katanya, pasukan bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang, tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia berada di sebuah kedai berhampiran apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat.

Katanya, sebaik menoleh ke arah lampu isyarat itu, dia mendapati sebuah lori terbalik menghempap kenderaan pacuan empat roda berkenaan, dan turut mendengar suara orang meminta tolong ketika menghulur bantuan.

“Saya dan orang ramai bergegas mengambil penyodok untuk membuang pasir yang menimbus kenderaan mereka dan cuba mengeluarkan mangsa yang tercedera,” katanya.
myMetroDihempap lori pasir

No comments:

Post a Comment