Pages

Thursday, July 7, 2011

Budak hilang dakwa diculik

Noramani ditemui 'kebingungan' sambil pegang senaskhah al-Quran

TASEK GELUGOR: Seorang budak perempuan berusia 10 tahun yang hilang secara misteri di Kampung Padang Tonson, dekat sini, petang kelmarin, ditemui dalam keadaan bingung sambil memegang senaskhah al-Quran, pagi semalam.
Noramani Rosli yang hilang secara tiba-tiba ketika pulang dari Madrasah Al-Nushu Wal Irtiqa, Lahar Yooi di sini, jam 6.15 petang, ditemui penduduk jam 7 pagi semalam, selepas keluar dari kawasan semak yang didakwa tempatnya tidur.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora itu ditemui hampir satu kilometer (km) dari rumah keluarganya oleh penduduk yang terserempak dengannya yang sedang berjalan kaki sambil memegang al-Quran, sedangkan usaha mencarinya sejak jam 6.30 petang kelmarin, menemui kegagalan.

Noramani yang masih lemah mendakwa dia diculik empat lelaki menaiki van putih sebelum dikurung dalam sebuah pondok kecil tanpa diberi makan.

"Ketika pulang dari sekolah agama petang kelmarin, saya menunggang basikal bersama beberapa rakan. Namun, saya tidak sedar tiba-tiba saja hilang hingga menyebabkan ibu dan ayah susah hati," katanya ketika ditemui, semalam.

Noramani berkata, dia tersedar sebaik mendengar azan Subuh lalu melompat keluar melalui 'tingkap' pondok untuk pulang ke rumah sebelum ditemui penduduk.
Bapanya, Rosli Mat Desa, 40, berkata anak keduanya itu selalu pulang jam 6.15 petang setiap hari selepas belajar di sekolah agama, namun dia bimbang sesuatu berlaku apabila anak perempuannya tidak pulang kelmarin.

Berikutan itu katanya, penduduk dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis melancarkan gerakan mencari Noramani sehingga jam 3 pagi, namun gagal.

"Saya terkejut apabila jiran menghantarnya pulang pagi tadi (semalam). Dia mendakwa diculik empat lelaki bertopeng dan dikurung dalam rumah kecil sebelum berjaya melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, Rosli percaya anaknya itu bukan diculik, tetapi 'disembunyikan' makhluk halus kerana polis yang menjalankan siasatan menemui basikal dan begnya di bawah pokok manggis, hampir satu kilometer dari rumah.

"Apa yang menghairankan, kami melalui tempat sama petang kelmarin, tetapi tidak menemuinya. Kemungkinan juga Noramani menggunakan kain telekung dibawanya sebagai alas tidur kerana ada beberapa helai daun kering. Kawasan di bawah pokok manggis juga seperti dibersihkan," katanya.

Apa pun, Rosli dan isterinya, Jamila Ariffin, 37, bersyukur kerana anak perempuan mereka ditemui semula tanpa kecederaan, kecuali kesan gigitan nyamuk. Berita Harian Online | Budak hilang dakwa diculik

No comments:

Post a Comment