Pages

Saturday, June 4, 2011

Buruan 16 tahun berakhir


KORBAN DI SREBRENICA: Gambar yang diambil pada Februari 1996 ini menunjukkan mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai di atas bukit berdekatan Srebrenica yang didakwa didalangi oleh ketua tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic. -- Foto Fail AP


Walaupun Mladic sudah ditangkap, kekejaman dahsyat yang berlaku sukar dilupakan oleh Muslim Bosnia


Susunan
Suhana A. Samat

MATANYA tidak mahu terlelap semula setelah terjaga sebelum matahari merangkak terbit.Dengan memakai topi besbol berwarna biru, lelaki tua itu mengambil keputusan keluar rumah dan menghirup udara segar.Jam menunjukkan 5 pagi dan sekitar 2,000 penduduk kampung masih nyenyak tidur.Tanpa disedarinya, empat jip yang membawa 20 lelaki bertopeng dan lengkap bersenjata telah menyelinap masuk ke kampung Lazarevo - kawasan terpencil yang terletak di utara Serbia.Secara serentak, mereka menyerbu empat rumah untuk mencari orang yang diburu selama ini.Di salah sebuah rumah yang diserbu, empat lelaki bertopeng itu melompat pagar dan menendang masuk ke rumah itu, sedang lelaki tua itu baru hendak keluar ke taman.Mereka menolak lelaki itu ke lantai.'Perkenalkan diri anda!' pekik salah seorang lelaki bertopeng itu.Lelaki tua itu hanya mampu berbisik: 'Saya Ratko Mladic.'Buruan yang bermula 16 tahun lalu sudah berakhir.


SIAPA MLADIC?
Mladic yang kini sudah berusia 69 tahun, merupakan salah seorang pemimpin tentera Serb Bosnia yang diburu sejak sekian lama kerana terbabit melancarkan perang pembersihan etnik Bosnia semasa perang 1992-1995.Dia berbuat demikian atas arahan pemimpin politik, Radovan Karadzic.Ekoran perang itu, negara Bosnia kini dibahagi kepada dua wilayah berdasarkan identiti kekauman iaitu Persekutuan Muslim-Croat dan Republik Serbia.Kira-kira 100,000 orang terkorban dalam perang itu, yang tercetus selepas Bosnia mengisytiharkan kemerdekaan daripada bekas negara Yugoslavia, dengan kebanyakan yang terbunuh dalam konflik itu adalah penduduk Islam Bosnia.Penduduk awam Bosnia tidak kira lelaki, wanita malahan orang tua dan kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman tentera Serb.Wanita dan kanak-kanak perempuan Bosnia dirogol, manakala penduduk lelaki, orang tua dan kanak-kanak pula diperlakukan dengan kejam sebelum dibunuh.Dalam satu insiden di Srebrenica, lebih 8,000 penduduknya hilang dan dipercayai dibunuh dalam kempen pembunuhan beramai-ramai pada 1995.Beberapa kubur besar mengandungi tulang-tulang dan mayat manusia yang ditanam beramai-ramai ditemui di wilayah itu beberapa tahun, kemudian dipercayai mayat penduduk Srebrenica.Bagi melindungi jenayah kejam pembunuhan beramai-ramai itu, tentera Serb Bosnia beberapa bulan kemudian datang semula ke kubur-kubur besar itu dan menggali mayat-mayat itu di waktu malam untuk ditanam semula di 28 tapak perkuburan baru yang jauh di pedalaman dan di lereng-lereng gunung.Tragedi itu merupakan insiden pembunuhan beramai-ramai terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua selepas tragedi Holocaust.Mladic merupakan orang yang bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica itu.Dua lagi sekutunya yang terlibat dalam tragedi di Srebrenica itu, Ljubisha Beara, dan Vujadin Popovic, telah pun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.Mladic juga didakwa mengarahkan kepungan selama 44 bulan ke atas Sarajevo.Orang kuatnya semasa pembunuhan itu, Jeneral Radislav Krstic, pula telah dijatuhi hukuman penjara 35 tahun kerana membantu jenayah itu.Seorang lagi yang telah ditahan sebelum ini ialah bekas Presiden Yugoslav, Slobodan Milosevic.Milosevic meninggal dunia ekoran serangan jantung pada 2006 semasa perbicaraan selama empat tahun hampir berakhir di The Hague.


BAKAL DIHERET KE PENGADILAN
Apabila Mladic muncul di mahkamah Serbia pada Jumaat lalu, dia kelihatan uzur dan sukar bercakap.Ini jauh berbeza dengan imejnya sebagai jeneral yang tegap dan disegani ramai pada satu ketika dulu.Menurut anaknya, Mladic telah diserang angin ahmar tiga kali dan bahagian kanan badannya kebas.Namun, para hakim memutuskan dia sihat untuk dibicarakan.'Badannya lemah tetapi mata birunya memancarkan semangat seorang lelaki muda,' kata seorang pegawai mahkamah.Rabu lalu, Mladic telah dipindahkan ke Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY), di The Hague, Belanda untuk dihadapkan ke depan hakim atas dakwaan melakukan jenayah perang, pembunuhan dan jenayah kemanusiaan semalam.Di The Hague, Mladic menyertai ketua politik Serb Bosnia, Radovan Karadzic, 65 tahun, yang kini masih lagi dibicarakan.Karadzic ditahan pada 2008 tetapi kemudian memboikot permulaan perbicaraannya pada Oktober 2009.Para pengamat berkata proses pengadilan bagi Mladic mungkin akan mengambil masa yang lama, mentelah dia menafikan bertanggungjawab atas tuduhan yang dikenakan.Dari sudut politik, penangkapan Mladic dilihat dapat mengukuhkan lagi kedudukan Presiden Serbia, Encik Borix Tadic dalam usahannya untuk menyertakan negara itu dalam Kesatuan Eropah (EU).Sebelum ini, penahanan Mladic merupakan antara syarat yang ditetapkan bagi Belgade untuk menyakinkan EU bahawa Serbia sudah bersedia untuk menjadi calon anggota blok itu.Bagi Presiden Tadic, penangkapan itu 'menghapuskan beban Serbia dan menutup sejarah hitam negara ini.'Masa mungkin telah menyebabkan masyarakat dunia semakin melupakan nasib malang yang telah menimpa masyarakat Islam Bosnia.Meskipun kini keadilan semakin hampir, namun parut lama masih ada.Seperti kata Encik Sead Bekric yang berusia 14 tahun ketika perang itu berlaku:'Bertahun telah berlalu. Kami telah kehilangan orang yang disayangi dan mereka tidak akan kembali. Apabila anda telah melalui pengalaman dahsyat seperti yang dilalui oleh kami, anda tidak akan dapat melupakan segalanya.
'Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment