Pages

Thursday, May 26, 2011

Tujuh maut serangan berani mati ke atas balai polis di Peshawar, Pakistan




PASUKAN keselamatan Pakistan memeriksa kawasan balai polis yang ranap dalam serangan bom berani mati militan Taliban di Peshawar, Pakistan, semalam. - AFP


PESHAWAR 25 Mei - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan sebuah balai polis ranap apabila seorang pengebom berani mati yang memandu trak dipenuhi bahan letupan merempuh bangunan balai polis tiga tingkat itu di barat laut Pakistan, hari ini.
Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut, serangan keempat oleh kumpulan militan itu bagi membalas dendam terhadap pembunuhan ketua al-Qaeda, Osama bin Laden oleh komando Amerika Syarikat (AS) di bandar garison Abbottabad, ke utara Islamabad pada 2 Mei lalu.
"Sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk enam anggota polis dan seorang anggota tentera berpakaian awam terbunuh dalam serangan itu," kata ketua polis Peshawar, Liaqat Ali Khan.
Antara 10 hingga 15 orang selalunya berada di bangunan tiga tingkat tersebut pada waktu itu.
Polis berkata, 28 orang lagi termasuk sembilan anggota polis cedera dalam letupan yang berlaku pada kira-kira pukul 4.38 pagi (7.38 pagi waktu Malaysia) di satu zon tentera di Peshawar, bandar yang menjadi laluan ke kawasan kabilah Pakistan bersempadan dengan Afghanistan.
Bangunan yang ranap itu menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah dan terletak di kawasan Kantonmen Peshawar, hanya 150 meter dari Konsulat AS, yang didiami keluarga anggota tentera yang biasanya dikawal ketat.
Menurut polis, serangan itu dilancarkan menggunakan sebuah trak kecil membawa sekurang-kurangnya 200-250 kilogram bahan letupan dan kekuatan ledakan menyebabkan serpihan anggota badan manusia tercampak lebih 300 meter dari lokasi kejadian.
"Kami akan memperhebatkan serangan untuk membalas dendam terhadap kematian Osama bin Laden," kata jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan dari satu lokasi rahsia.
Katanya, serangan sedemikian akan diteruskan sehinggalah serangan pesawat tanpa juruterbang AS dan operasi tentera Pakistan di kawasan kabilah dihentikan.
Jumaat lalu juga di Peshawar, Taliban melancarkan serangan bom ke atas satu konvoi konsulat AS menggunakan alat kawalan jauh, menyebabkan seorang penduduk awam Pakistan terbunuh dan 11 lagi cedera dalam serangan pertama ke atas warga AS sejak pembunuhan Osama. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment