Pages

Tuesday, May 24, 2011

Polis Maghribi pukul penunjuk perasaan




POLIS Maghribi membelasah penunjuk perasaan di Casablanca, kelmarin. – REUTERS


RABAT 23 Mei – Berpuluh-puluh orang cedera dan beberapa lagi ditahan selepas polis Magribi bertindak memukul penunjuk perasaan yang melanggar larangan mengadakan protes di negara ini, semalam.
Keganasan itu menjadi isyarat bahawa kerajaan mengambil tindakan keras ke atas pergerakan protes yang semakin berani selepas ia tercetus Februari lalu, tetapi masih belum mendapat sokongan awam.
Beberapa penunjuk perasaan turut semakin lantang mengkritik Raja Mohammed, malangnya protes itu masih gagal untuk menghimpunkan sejumlah orang untuk menyamai kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab lain.
Kebanyakan protes tertumpu di Makhzen, kediaman Diraja Magribi yang terletak di Rabat dengan penunjuk perasaan berteriak ‘Protes adalah sah di sisi undang-undang, kenapa Makhzen takut’ dan ‘Berambus Makhzen, tumbang dengan pemerintahan kuku besi kamu’.
Seorang koresponden Reuters melihat tujuh polis antirusuhan menghampiri seorang lelaki dan memukulnya berulang kali di bahagian kepala dan dan badannya berdarah.
“Kami diarahkan ke tempat ini untuk menguatkuasakan peraturan kerana berlaku protes haram,” kata pegawai polis kanan di tempat kejadian.
Di bandar Fes, bandar kedua terbesar di Magribi, tiga penunjuk perasaan berada dalam keadaan kritikal, menurut seorang anggota protes, Fathallah al-Hamdani. Kecederaan turut berlaku di bandar Tangier.
Penunjuk perasaan dilaporkan mahu berkampung di depan bangunan Parlimen di Rabat, tetapi pihak berkuasa berusaha gigih untuk memastikan peristiwa di Dataran Tahrir, Mesir tidak berulang.
Di bandar-bandar utama lain, polis yang bersenjatakan belantan dan perisai meleraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan-jalan.
Beberapa aktivis hak asasi manusia turut dipukul di depan ibu pejabat polis ketika cuba menuntut supaya 13 anggota kumpulan hak asasi AMDH dibebaskan, menurut seorang anggota kumpulan itu, Khadija Riyadi. – REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment