Pages

Tuesday, May 24, 2011

Gunung berapi Iceland meletus lagi


REYKJAVIK, Iceland 23 Mei - Letusan gunung berapi paling aktif di Iceland menyebabkan lapangan terbang utama pulau itu ditutup semalam sementara negara Eropah lain berjaga-jaga dengan kesan gumpalan debu dari letusan itu kepada laluan udara mereka.

Pakar menjangkakan kemungkinan yang kecil sahaja laluan udara akan ditutup sehingga enam hari seperti tahun lalu yang turut melibatkan penerbangan rentas Atlantik, walaupun sistem penerbangan telah diberi amaran akan berlaku gumpalan abu.
Setakat ini, kawasan bandar dan perkampungan di selatan dan timur gunung berapi Grimsvotn yang paling teruk dilanda letusan gunung berapi itu.
Keadaan di waktu siang kelihatan seperti waktu malam apabila asap abu yang tebal menyeliputi kawasan itu.
Awan debu tersebut turut mula bergerak ke ibu negeri Reykjavik lewat petang semalam dan pihak berkuasa penerbangan awam berkata kemungkinan untuk membuka kembali lapangan terbang antarabangsa yang utama hari ini bukan satu tindakan yang baik.
Pusat-pusat kawalan trafik udara Eropah memberi amaran di dalam laman web bahawa gumpalan debu itu kemungkinan akan tersebar ke arah selatan.
"Awan debu dijangka akan tiba di utara Scotland pada hari Selasa, 24 Mei. Jika pengeluaran gunung berapi terus berlaku dengan intensiti yang sama, awan debu itu mungkin akan tiba ke laluan udara barat Perancis dan utara Sepanyol pada hari Khamis, 26 Mei," kata Eurocontrol di dalam buletin laman web tersebut.
Agensi itu yang menubuhkan sebuah unit krisis selepas penyelarasan yang teruk pada krisis tahun lalu berkata, tiada penutupan dijangka akan berlalu di luar Iceland pada hari ini atau esok.
Sistem penerbangan yang jauh seperti Australia berkata, mereka akan terus mengawasi keadaan selepas penerbangan dan penghantaran barang terganggu di seluruh dunia tahun lalu dan merugikan industri itu sehingga AS$1.7 billion (RM5.2 bilion).
Pejabat Meteorologi Iceland berkata gumpalan awan debu dari Grimsvotn yang kali terakhir berlaku pada tahun 2004, setinggi 25 kilometer dari puncaknya dan kini ia kelihatan stabil. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment