Pages

Thursday, May 5, 2011

Pakistan tuduh Amerika Syarikat menceroboh



Penduduk Pakistan membakar bendera Amerika semasa protes anti-as atas kematian Osama di Multan, Pakistan, semalam. - AP


ISLAMABAD 4 Mei - Pakistan menuduh Amerika Syarikat (AS) menceroboh negaranya ketika melancarkan serbuan ke atas pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di negara ini awal Isnin lalu dan mengingatkan AS supaya berhenti menceroboh negara ini.
Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan dalam satu kenyataan media berkata, laporan mengenai helikopter AS berlepas dari Pangkalan Udara Ghazi adalah tidak benar.
"Helikopter AS memasuki ruang udara negara ini melalui kawasan berbukit yang tidak boleh dikesan oleh radar.
"Helikopter AS itu turut dilengkapi teknologi terbaru serta terbang menggunakan teknik nap of the earth supaya ia tidak boleh dikesan," kata Kementerian itu, semalam.
Menurut kenyataan itu, perkara itu turut disahkan oleh Penasihat White House, John Breman yang menyatakan bahawa AS tidak memaklumkan kepada Pakistan mengenai operasi itu sehinggalah semua pesawat dan anggota tentera AS terbabit keluar dari ruang udara negara ini.
"Kami turut bimbang jika Pakistan memutuskan untuk mengarahkan jet-jet pejuangnya untuk melakukan pemantauan kerana mereka tidak tahu siapa kami.
"Jadi kami memastikan semua anggota dan pesawat kami keluar dari ruang udara Pakistan. Saya bersyukur tidak berlaku sebarang pertembungan di udara dengan tentera Pakistan," katanya ketika ditanya berhubung insiden serbuan yang mengorbankan Osama bin Laden itu.
Sementara itu, kerajaan Pakistan dengan keras mengecam tindakan AS melancarkan operasi dan memasuki ruang udara dan wilayahnya tanpa memaklumkan dan mendapatkan kebenaran negara ini terlebih dahulu.
"Operasi yang tidak mendapat kebenaran ini sepatutnya tidak boleh dilakukan dan kami dengan tegas mengingatkan supaya tindakan seperti ini tidak dilakukan lagi oleh mana-mana negara, termasuk AS, pada masa depan.
"Tindakan ini akan merosakkan kerjasama dan mungkin mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa," ujar kementerian itu.

No comments:

Post a Comment