Pages

Sunday, May 8, 2011

Osama di Pakistan 2003



GAMBAR yang dipetik dari siaran berita Geo TV Pakistan menunjukkan pasport milik isteri muda Osama, Amal Ahmed Abdul Fattah. – AGENSI


ISLAMABAD 7 Mei – Osama bin Laden mungkin telah tinggal di Pakistan selama tujuh tahun sebelum dia ditembak mati oleh skuad pembunuh elit Amerika Syarikat (AS) Isnin lalu.
Seorang daripada balunya, Amal Ahmed Abdul Fattah, 29, memberitahu penyiasat Pakistan, suaminya itu telah tinggal di sebuah kampung di negara ini hampir dua tahun setengah sebelum berpindah ke rumah agam di bandar Abbottabad, tempat dia dibunuh.
Amal dilaporkan berkahwin dengan Osama, kira-kira 10 tahun lalu, kini dirawat kakinya yang ditembak oleh skuad pembunuh elit AS semasa serbuan. AS mahu mendapatkan perintah ekstradisi terhadapnya.
Menurut penyiasat Pakistan, isteri kepada pemimpin al-Qaeda itu turut memberitahu suami dan keluarganya telah menetap di rumah agam tersebut sejak lebih lima tahun lalu.
“Mereka telah tinggal di sebuah kampung di daerah Hariour selama hampir dua tahun lebih sebelum berpindah ke Abbottabad pada akhir tahun 2005,” kata seorang daripada pegawai penyiasat kepada Reuters yang enggan dikenali.
Amal dan dua lagi isteri Osama, selain 13 orang anaknya adalah antara 15 hingga 16 orang yang ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan di rumah agam itu selepas operasi serbuan tentera elit AS.
Pakistan yang sangat bergantung kepada bantuan berbilion-bilion dolar AS menerima tekanan kuat untuk menjelaskan bagaimana Osama boleh tinggal untuk jangka masa yang lama di negara itu tanpa dikesan.
Rasa syak semakin mendalam bahawa agensi perisikan Pakistan, Perisikan Antara Agensi (ISI) yang telah lama berhubung dengan kumpulan militan mungkin ada hubungan dengan Osama atau sekurang-kurangnya seorang daripada agennya.
Pakistan menafikan tuduhan itu dan menegaskan telah melakukan sebaik mungkin dalam memerangi pengganas selepas pengikut al-Qaeda melancarkan serangan 11 September 2001 ke atas AS. – REUTERS

No comments:

Post a Comment