Pages

Wednesday, May 4, 2011

Lima ditangkap dekat loji nuklear


SELLAFIELD - Lima lelaki ditangkap di bawah Akta Keganasan Britain berhampiran sebuah loji nuklear Britain kelmarin, beberapa jam selepas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden dilaporkan terbunuh.
Mereka ditahan berhampiran loji nuklear Sellafield yang mengendalikan bahan radioaktif berbahaya pada tengah hari susulan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan oleh pihak berkuasa yang mengawasi kemudahan nuklear berkenaan di wilayah Cumbria Barat, England.
Penangkapan mereka dibuat ketika dunia berada dalam keadaan berjaga-jaga berhubung keganasan oleh para penyokong Osama yang berikrar akan membalas dendam atas kematiannya.
Semalam, polis Cumbria berkata, semua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an dipindahkan ke Manchester pagi semalam.
"Pada pukul 4.32 petang waktu tempatan kelmarin, anggota-anggota polis kawalan loji nuklear menahan dan memeriksa sebuah kereta berhampiran tapak loji Sellafield di Cumbria Barat," kata satu kenyataan polis.
"Susulan pemeriksaan tersebut, polis menahan lima lelaki kesemuanya dari London di bawah Seksyen 41 Akta Keganasan.
"Kes tersebut kini disiasat Unit Anti Keganasan Britain," tambah kenyataan sama.
Pihak berkuasa Britain bagaimanapun tidak menyatakan punca sebenar penangkapan mereka. - Agensi, kosmo

No comments:

Post a Comment