Pages

Sunday, May 29, 2011

Ibu tunggal lawan kera



ROKIAH menceritakan pengalamannya ketika bergelut dengan kera untuk menyelamatkan Siti Hajar.
ROKIAH menceritakan pengalamannya ketika bergelut dengan kera untuk menyelamatkan Siti Hajar.

Pengasuh tekad selamatkan bayi cuba digigit haiwan liar

MELAKA: Berlawan dengan kera demi menyelamatkan anak asuhan. Itu pengalaman ngeri dialami Rokiah Abd Rahman, 59, atau lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Mak Long apabila sanggup menerjah kera yang cuba menggigit anak asuhannya dalam buaian, baru-baru ini.
Akibatnya, dia luka teruk pada kedua-dua tapak tangan dan terpaksa bercuti sebulan bagi membolehkan luka sedalam satu sentimeter itu sembuh. Namun, anak di bawah jagaannya, Siti Hajar Abd Razak, 15 bulan, menerima kira-kira 30 jahitan kerana cedera pada bahagian dahi, hidung, bibir dan tapak tangan kiri.
“Ketika kera itu menggigit kepala Siti Hajar, Mak Long sudah tidak ingat apa pun melainkan tekad memastikan budak ini selamat.

“Mak Long hanya terfikir yang Mak Long diamanahkan menjaga Siti Hajar oleh ibu bapanya. Jadi Mak Long kena pastikan tiada perkara buruk berlaku pada anak mereka,” katanya ketika ditemui Berita Minggu di rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau, Melaka baru-baru ini.

Ketika kejadian, selain Siti Hajar, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun turut berada dalam jagaan Rokiah. Bagaimanapun, ketika serangan haiwan itu, kanak-kanak terbabit sedang bermain permainan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Kera liar berkenaan pula dipercayai masuk ke rumah wanita itu kira-kira jam 10 pagi melalui ruang angin antara bumbung dan pintu bahagian tengah kediaman terbabit.
Rokiah berkata, ketika mendodoikan Siti Hajar dengan menepuk perlahan kanak-kanak berkenaan, dia terlena sebelum tangannya tiba-tiba terasa perit dan kebas. Kesakitan itu menyebabkannya, terus terjaga dan pada masa sama terkejut melihat seekor kera liar bersaiz lebih kecil daripada kanak-kanak itu sedang menggigit tangan kanannya.

“Secara spontan Mak Long tepis kera itu yang kemudian terjatuh dan sepantas kilat bertindak pula menggigit tapak tangan kiri Mak Long,” kata ibu tunggal tiga anak itu.

Kata Rokiah, pada saat mencemaskan itu, sekali lagi dia menepis kera terbabit dengan menggunakan tangan kanannya yang cedera. Ini menyebabkan haiwan itu melepaskan gigitan sebelum menerkam dan menggigit bahagian kepala Siti Hajar yang masih berada di dalam buaian.

“Ketika itu, Mak Long nampak kera itu terlalu kecil saja. Dengan kuatkan hati sambil berselawat dan membaca Al-Fatihah, Mak Long terus cekik dan pulas kulit bahagian belakang leher kera terbabit perlahan-lahan.

“Ini menyebabkan haiwan itu melepaskan cengkaman giginya pada Siti Hajar. Namun dalam sekelip mata bergulung pula pada lengan Mak Long. Tanpa melepaskan lehernya, dengan segera Mak Long terus berlari keluar rumah sambil menjerit meminta tolong,” katanya.

Beliau berkata, dia bernasib baik apabila seorang jiran yang kebetulan baru pulang dari kerja terdengar jeritannya, lalu memukul dan memijak kera terbabit sebelum mencampak haiwan itu ke dalam belukar di belakang rumahnya.

INFO: Kes serangan kera


  • 2 Februari 2011: Muhammad Qushari Mohd Shayfulrizam, 2, nyaris digigit kera apabila haiwan itu secara tiba-tiba menyerangnya dengan memanjat motosikal ditunggang ibu, Roshita Norzana Abdul Rashid, 30, di Perumahan Kastam Balok Baru, Kuantan.





  • 24 Disember 2009: Fatini Sakira, 19 bulan, cedera kaki digigit monyet yang memasuki rumah keluarganya di Taman Murni, Sungai Isap, Kuantan.





  • 23 Disember 2009: Khairul Azwan Khairudin, 14, dan Nuha Nurfaiqah Sheikh Akhbar, 7, diserang monyet liar ketika berada di sebuah kedai makan di Taman Murni, Sungai Isap, Kuantan, kira-kira jam 9 malam.





  • 2 Februari 2011: Muhammad Qushari Mohd Shayfulrizam, 2, nyaris digigit kera apabila haiwan itu secara tiba-tiba menyerangnya dengan memanjat motosikal ditunggang ibu, Roshita Norzana Abdul Rashid, 30, di Perumahan Kastam Balok Baru, Kuantan.



  • Berita Harian Online | Ibu tunggal lawan kera

    No comments:

    Post a Comment