Pages

Sunday, May 8, 2011

'Hantaran' isteri kelima RM15,000




GAMBAR pasport menunjukkan Amal Al-Sadah.


LONDON - Isteri kelima Osama bin Laden, Amal Al-Sadah mendedahkan bahawa dia rela berkahwin dengan Ketua Al-Qaeda tersebut selepas diberikan hadiah perkahwinan berupa pakaian dan barang kemas yang bernilai AS$5,000 (RM15,000), lapor sebuah akhbar semalam.
Isteri pertama Osama, Saada dilaporkan marah kerana Amal sanggup berkahwin dengan Osama dan hidup sebagai pelarian bersama ketua Al-Qaeda itu di Afghanistan.
Wanita itu dipercayai tidak dapat menerima kenyataan bahawa Amal sanggup meninggalkan kehidupan seperti orang biasa di Yemen.
Namun, perkahwinan tersebut yang berlangsung semasa Amal berusia 17 tahun, mendapat restu keluarganya yang merupakan kakitangan kerajaan Yemen. Malah, mereka berbangga menerima Osama sebagai menantu walaupun mengetahui dia ialah orang paling dikehendaki di dunia.
Amal yang kini berusia 27 tahun, membuat pendedahan tersebut dalam satu wawancara dengan majalah Arab Saudi, el-Majalla di Yemen pada tahun 2002.
Menurut Amal, perkahwinan mereka berlangsung selepas Osama menghantar orang kepercayaannya, Abu Al Fida ke Yemen untuk mencari seorang isteri baharu buatnya.
Osama ketika itu mahukan seorang calon isteri yang alim, murah hati, mendapat pendidikan yang baik, pendiam, tenang dan cukup muda supaya dia tidak mudah cemburu terhadap isteri-isterinya yang lain.
Seorang rakan Amal dalam wawancara dengan majalah Time kemudian memberitahu, wanita itu ialah seorang yang pemalu apabila dia dibawa ke Kandahar, Afghanistan pada 2000 untuk tinggal bersama isteri-isteri Osama yang lain.
Mereka berkahwin di Kandahar semasa Osama berusia 43 tahun.
Dalam wawancara dengan el-Majalla, Amal berkata, selepas serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001, dia pulang ke Yemen bersama anak perempuannya dari Pakistan dengan pertolongan beberapa pegawai Pakistan.
Dalam wawancara tersebut, dia turut menceritakan serba sedikit tentang kehidupannya bersama ketua kumpulan Al-Qaeda itu.
"Apabila AS mula mengebom Afghanistan, kami berpindah ke sebuah kawasan pergunungan bersama beberapa kanak-kanak dan tinggal di dalam beberapa buah gua selama dua bulan sehingga seorang anak lelaki Osama tiba bersama sekumpulan puak tempatan untuk membawa kami pergi bersama mereka," kata Amal.
Dia kemudian dibawa menemui beberapa pegawai Pakistan yang membantunya pulang ke Yemen sebelum kembali semula ke Pakistan juga dengan bantuan mereka.
Wanita itu dan 16 yang lain termasuk dua lagi isteri Osama kini ditahan di sebuah hospital tentera Pakistan di Rawalpindi.
Amal ditembak di kaki oleh pasukan komando AS, Seal, yang membunuh Osama, 54, dalam serbuan di rumah yang dihuni mereka di bandar Abbottabad, sekitar 100 kilometer ke utara Islamabad pada malam Ahad lepas. - Agensi

No comments:

Post a Comment