Pages

Tuesday, May 3, 2011

Aset Gaddafi, Mubarak, Ben Ali dibeku

GENEVA: Switzerland hari ini mengesahkan pihaknya membekukan sejumlah 830 juta franc (AS$960 juta atau 646 juta Euro) simpanan wang dan dana yang dimiliki beberapa pemimpin Afrika Utara selepas tercetusnya pergolakan di negara terbabit awal tahun ini.

Menteri Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey mendedahkan angka itu pada sidang media di Tunisia ketika beliau dalam lawatan tiga hari ke negara itu.

Sebahagian besar dana yang dibekukan berjumlah 410 juta franc dikaitkan dengan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan rakan sekutunya.
Baki 360 juta franc lagi yang dibekukan Switzerland dipercayai milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi manakala 60 juta franc lagi milik bekas pemimpin Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan rakan sekutunya.

Switzerland diarah membekukan aset Ben Ali dan Mubarak sebaik pemimpin terbabit digulingkan dalam pemberontakan rakyat yang tercetus pada Januari dan Februari lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment