Pages

Monday, April 11, 2011

Tentera Mesir sedia guna kekerasan

KAHERAH 10 April - Tentera yang memerintah Mesir memberi amaran mereka akan menggunakan kekerasan bagi menamatkan protes di Dataran Tahrir selepas dua maut dalam keganasan yang meletus malam tadi apabila pasukan keselamatan bertindak ke atas penunjuk perasaan.
Askar dan polis menggunakan alat renjatan elektrik, taser dan belantan dalam usaha untuk mengusir penunjuk perasaan dari dataran itu, medan protes yang membawa kepada penyingkiran Hosni Mubarak sebagai Presiden pada 11 Februari lalu.
Bunyi tembakan kedengaran di seluruh dataran tersebut dalam operasi malam tadi.
Namun beratus-ratus penunjuk perasaan tidak menghiraukan tindakan pasukan keselamatan dan enggan berganjak.
Beribu-ribu lagi menyertai mereka untuk menuntut penyerahan kuasa kepada kerajaan awam dan peletakan jawatan Field Marsyal Mohamed Hussein Tantawi, yang mengetuai Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata.
"Dataran Tahrir akan dikosongkan daripada penunjuk perasaan dengan kekerasan bagi memastikan kehidupan pulih seperti biasa," kata jurucakap Majlis, Mejar Jeneral Adel Emarah.
Tentera menjadi sasaran bagi sekumpulan penunjuk perasaan tegar yang menuduhnya bersekongkol dengan saki-baki rejim Mubarak dan menolak desakan supaya lebih ramai bekas pegawai rejim itu disingkirkan.
"Majlis tentera adalah sebahagian daripada rejim yang korup, dan terdiri daripada ketua-ketua tentera yang mendapat manfaat daripada Mubarak dan pemerintahannya yang merompak rakyat Mesir selama 30 tahun," kata seorang penunjuk perasaan, Abdullah Ahmed, 45.
Mengulas mengenai amaran Emarah itu, seorang lagi penunjuk perasaan, Zain Abdel Latih berikrar mereka akan menggunakan kekerasan jika tentera menggunakan kekerasan.
"Negara ini bukan Libya, di mana tentera boleh menyerang kami dengan sewenang-wenangnya," katanya. - Reuters
-Utusan

No comments:

Post a Comment