Pages

Saturday, April 9, 2011

Rahsia pikat dua isteri




Hasan Mahmud bersama isteri pertamanya, Mazenah Mahmud di rumah mereka di Putrajaya. Bibit perkenalan mereka berputik ketika belajar di sekolah Arab yang sama.


"PADA zaman itu, suratlah yang menjadi penghubung antara kami berdua dan ketika itu tak payah susah-susah nak pos sebab kami hanya meletakkannya sama ada di celah pasu bunga, di celah-celah pokok atau kirim melalui budak-budak.''
Demikian permulaan bicara bersama Datin Mazenah Mahmud, 61, isteri pertama pendakwah terkenal, Datuk Hasan Mahmud.
Menurut Mazenah, disebabkan tiada alat komunikasi yang lain seperti telefon, maka surat yang ditulis pastinya akan melebihi daripada empat muka surat.
Apabila ditanya apakah yang dituliskan sehingga panjang begitu, katanya, semasa tengah bercinta, zaman muda-muda, semua ada, sama macam orang zaman sekarang bercinta. Pasti ada sahaja yang hendak dituliskan.
Mazenah memberitahu, setiap kali surat yang diselit atau diletakkan di pokok, dia dan Hasan akan menggunakan bahasa isyarat untuk memberitahu ada 'pesanan'.
Menyingkap perkenalan awal mereka, jelas Mazenah, mereka berdua bersekolah di sekolah Arab yang sama dan daripada situlah kerana sering berjumpa dan kebetulan pula Hasan menyewa rumah di hadapan rumahnya, lama kelamaan 'terbitlah' satu perasaan yang sukar digambarkan.
''Walaupun kami satu sekolah dan diasingkan antara pelajar perempuan dan lelaki, tapi kami sering berselisih antara satu sama lain.
''Ketika itu Ustaz (panggilan untuk Hasan) yang kebetulan menyewa di hadapan rumah saya juga sering mengunjungi rumah untuk menonton televisyen.
''Daripada situlah bermula segala-galanya sehinggalah kami mengambil keputusan untuk bertunang pada 1970,'' kata Mazenah ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.
Segala yang diceritakan oleh Mazenah dipersetujui oleh Hasan. Beliau berkata, mereka melangsungkan hari bersejarah pada 23 Julai 1971.
Ketika itu, Hasan pada tahun akhir pengajian di Masjid Negara dan kehidupan mereka selepas itu tidak seperti pasangan lain kerana Mazenah masih lagi tinggal di Perlis.
Menurut Hasan, ketika itu beliau berulang alik ke Perlis sehinggalah pada tahun 1975, beliau membawa Mazenah ke Mesir, mengikutnya yang menyambung pelajaran di sana.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Hasan mempunyai seorang lagi isteri. Tetapi sudah ditakdirkan, umur isterinya itu tidak panjang.
Selepas itu, Hasan mengambil keputusan berkahwin pula seorang lagi pada akhir tahun 2008.
Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah Hasan tidak pernah mengenali isteri ketiganya, Melly Maliha Maidin, sehinggalah beliau mengunjungi rumah keluarganya di Kudat, Sabah.
''Isteri saya ini (Melly) merupakan seorang penganut agama Kristian. Saya mengenalinya melalui abangnya yang merupakan seorang mualaf. Mungkin sudah ditakdirkan bahawa ada jodoh saya bersamanya.
''Kali pertama berjumpa dengannya adalah sewaktu saya mengunjungi keluarganya di Kudat. Ketika itu saya menyatakan hasrat untuk menjadikannya sebagai isteri saya. Pada saya umur mungkin suatu kebetulan, saya tidak pernah mencari yang muda.
''Walaupun keluarganya tidak boleh menerima poligami tetapi mereka boleh menerima agama Islam. Bagaimanapun ketika itu isteri saya (Melly) tidak menerima saya,'' ceritanya sambil ketawa.
Begitu pun, ujar bapa kepada tujuh orang cahaya mata ini, setelah pulang ke Semenanjung, dia tidak berputus asa menelefon Melly walaupun ia tidak pernah berjawab.
Begitu juga dengan khidmat pesanan ringkas (SMS), yang mana lima yang dihantar hanya satu yang dibalas.
Berkat kesabaran Hasan, setelah lima bulan menunggu akhirnya berbalas apabila Melly menyatakan kesudian untuk menjadi isterinya.
Sementara itu, Melly ketika ditemui menyatakan, keikhlasan Hasan yang ditunjukkan ketika mengunjungi keluarganya di Kudat sebelum ini, telah membuka pintu hati beliau untuk menerimanya sebagai suami.
''Mula-mula susah juga hendak menerima kerana bukan sahaja faktor umur tetapi pada masa itu saya juga ada berkawan dengan orang lain.
''Tetapi apabila melihat Ustaz begitu ikhlas, lama kelamaan saya boleh menerimanya,'' ujarnya.
Ternyata kehidupan Hasan hari ini bahagia bersama dua isteri dan tujuh orang cahaya mata di samping kerjayanya yang cukup hebat.
Utusan Malaysia Online - Keluarga

No comments:

Post a Comment