Pages

Friday, April 1, 2011

Radiasi cecah lebih 4,000 ganda


TOKYO 31 Mac - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesan radiasi tinggi di luar zon sebelum ini dan paras radioaktif di air laut mencecah lebih 4,000 kali ganda berbanding had dibenarkan.

Menurut IAEA, paras radioaktif iodin di perairan berhampiran loji nuklear Fukushima kini mencecah 4,385 kali lebih tinggi berbanding had dibenarkan, yang juga rekod tertinggi sejak krisis nuklear melanda Jepun.
Sehubungan itu, IAEA menyarankan Jepun meluaskan zon perpindahan di sekitar loji nuklear Fukushima.
Menurut agensi itu, Jepun perlu menimbangkan untuk meluaskan zonnya yang diletak pada 20 kilometer sebelum ini selepas radiasi tinggi dikesan di lokasi sejauh dua kali ganda daripada jarak tersebut.
Kerajaan sebelum ini menasihati kira-kira 136,000 penduduk di kawasan dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya berpindah, namun tidak menegaskannya dan hanya meminta penduduk tinggal di dalam rumah jika enggan berpindah.
IAEA melaporkan, penduduk di kampung Iitate, kira-kira 40 kilometer dari loji nuklear Daiichi, sepatutnya diarah berpindah selepas radiasi tinggi yang melebihi had dikesan di situ.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano, bagaimanapun tidak memberikan sebarang isyarat bahawa kerajaan akan menimbangkan cadangan IAEA itu.
"Buat masa ini kita tiada sebab untuk memikirkan radiasi itu memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kita perlu meneliti situasi ini dan lihat jika paras radiasi terus meningkat," katanya pada satu taklimat kepada media.
Perdana Menteri Naoto Kan hari ini berkata, loji nuklear tersebut perlu ditutup selepas krisis terburuk atom dunia sejak bencana Chernobyl pada 1986 itu masih belum dapat diselesaikan. - Reuters/AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment