Pages

Monday, April 25, 2011

Presiden Yaman setuju undur dalam 30 hari




MAHU GULING PRESIDEN: Para pembantah antipemerintah (kiri) melaungkan slogan-slogan semasa satu tunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh, di Sanaa, Yaman, kelmarin. -- Foto AP, REUTERS


Akhirnya akur dengan usulan para pengantara negara Arab Teluk, dilindungi daripada hadapi pendakwaan


SANAA: Presiden Yaman, Encik Ali Abdullah Saleh, akhirnya bersetuju dengan satu usulan para pengantara negara Arab Teluk untuk meletakkan jawatan beliau dalam masa 30 hari.
Beliau juga akan mengalihkan kuasa kepada timbalannya sebagai tukaran kepada perlindungan daripada menghadapi sebarang pendakwaan - tindakan yang disifatkan sebagai satu putaran balik daripada pendirian pemimpin autokratik yang telah memerintah Yaman sejak 32 tahun lalu itu, sebelum ini.Satu pakatan terdiri daripada tujuh parti pembangkang Yaman awal semalam berkata mereka menerima perjanjian itu dengan keraguan.Walaupun jika ada perbezaan berhubung hasil perjanjian itu, parti-parti tersebut tidak mewakili suara kesemua ratusan ribu pembantah yang mahu menggulingkan Encik Saleh, dan terdapat tanda-tanda bahawa satu perjanjian atas syarat-syarat tersebut tidak akan menamatkan konfrontasi di jalan-jalan raya.Malah, para pembantah Yaman mahukan pemimpin itu segera meninggalkan jawatannya.'Ada persetujuan untuk menolak inisiatif yang diusulkan oleh Majlis Kerjasama Teluk (GCC),' kata Encik Abdulmalik al-Yusufi, seorang aktivis utama bantahan di Dataran Universiti Sanaa itu.Rancangan GCC itu akan melihat Encik Saleh meletak jawatannya di parlimen dalam masa sebulan, selepas membentuk satu pemerintah bersatu dan mengalihkan kuasanya kepada timbalan beliau. Satu pilihan raya presiden kemudian menyusul dalam masa dua bulan.Sehari sebelumnya, para pembantah telah mengadakan demonstrasi paling besar sepanjang tempoh dua bulan mereka mengadakan beberapa siri demonstrasi, dengan lautan ratusan ribu pembantah memenuhi lima laluan lebuh hias di ibu kota Yaman.Sehari demi sehari para pembantah mengingkari tindakan keras pihak berkuasa, termasuk beberapa serangan penembak hendap, dan kematian lebih 130 orang yang terbabit dalam demonstrasi itu.Penentangan itu dan satu siri gelombang pembelotan di kalangan sekutu Encik Saleh, termasuk para komander utama ketenteraannya, telah memaksa beliau bertolak ansur terhadap keengganan beliau meninggalkan jawatannya sebelum tempohnya berakhir pada 2013.Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Mark Toner, berkata pihak Washington mengalu-alukan usulan itu bagi menamatkan krisis tersebut dan menggesa diadakan dialog segera antara semua pihak terbabit berhubung peralihan kuasa itu.'Kami tidak akan membuat spekulasi mengenai pilihan-pilihan yang akan diputuskan rakyat Yaman, atau keputusan dialog politik mereka,' kata beliau.Yaman, yang mempunyai 23 juta penduduk adalah antara negara Arab paling miskin. -- AP, AFP.




SEKILAS PRESIDEN ALI ABDULLAH SALEH


  • Pemimpin Yaman sejak lebih tiga dekad lalu. Menggunakan konflik dalaman kumpulan pemisah Syiah, Houthi, di utara; kumpulan pemisah Marxist di selatan; dan kumpulan Al-Qaeda di timur negara itu untuk menarik bantuan asing dan sokongan ketenteraan bagi mengekalkan kuasanya.



  • Pernah mempengerusi usaha penyatuan Yaman Utara dan Yaman Selatan pada 1990.



  • Dilantik sebagai presiden oleh parlimen Yaman pada Oktober 1994, dan menjadi presiden yang dilantik secara langsung pada September 1999 dengan memenangi 96.3 peratus undi. Dilantik semula pada September 2006 bagi tempoh tujuh tahun lagi.



  • Dilahirkan pada 21 Mac 1942 daripada puak Hashed yang tinggal dekat Sanaa. Beliau menerima pendidikan terhad sebelum memegang jawatan tentera mulai 1958.



  • Dilantik sebagai gabenor tentera Taiz oleh Presiden Yaman Utara, Encik Ahmed Al-Ghashmi, yang juga berasal daripada puak Hashed. Apabila Encik Ghashmi terbunuh dalam satu kejadian letupan bom pada 1978, Encik Saleh menggantikan beliau sebagai pemimpin Yaman Utara.



  • Kepimpinan beliau mencetuskan ketegangan dengan Yaman Selatan, hingga mengakibatkan perang saudara antara kededua negara itu pada 1979. Perang itu tidak menyebelahi Encik Saleh.



  • Namun, Encik Saleh bertahan dan berupaya menggagalkan percubaan menggulingnya selepas beberapa bulan memegang tampuk kepimpinan di Yaman Utara. Beliau akhirnya menang besar apabila rakyat Yaman Selatan cuba berpisah dari Yaman pada 1994.



  • Encik Saleh membuat beberapa konsesi lisan semasa bantahan besar-besaran baru-baru ini, dengan berjanji untuk meletak jawatannya pada 2013 dan menawarkan perlembagaan baru yang memberikan lebih banyak kuasa kepada parlimen. Namun, beliau menolak rancangan penentangnya supaya diadakan peralihan lebih segera.



  • Beberapa sekutu Encik Saleh berpaling tadah dan berpihak kepada para pembantahnya. Mereka kecewa dengan berleluasanya amalan rasuah dan penggangguran. Kira-kira 40 peratus penduduk Yaman berpendapatan AS$2 ($2.47) sehari atau lebih rendah. Sepertiga lagi menghadapi kebuluran kronik.
    Sumber: Reuters/Globalsecurity.com, cyberita


  • No comments:

    Post a Comment