Pages

Thursday, April 14, 2011

OIC kritik Perancis haramkan purdah

WASHINGTON 13 April - Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, tindakan Perancis mengharamkan purdah membesar-besarkan isu berhubung pakaian yang dikenakan oleh hanya segelintir wanita Islam di Barat.
Perancis menjadi negara pertama di Eropah menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan pakaian yang menutup muka termasuk purdah dan burqa, Isnin lalu.
"Mereka yang memakai burqa, terutamanya di Eropah atau negara Barat, adalah minoriti yang sangat kecil dan saya tidak faham mengapa anda meluluskan undang-undang untuk mengharamkannya," kata Ihsanoglu kepada wartawan pada forum Amerika Syarikat (AS)-Dunia Islam di sini.
Katanya, pengharaman itu mengalihkan perhatian kepada sebilangan kecil orang dan menjadikannya isu besar.
"Saya fikir ini isu kecil dan tidak wajar tidak diberi perhatian sebegitu rupa," katanya.
Sejak undang-undang itu berkuat kuasa di Perancis, hanya segelintir wanita telah didenda atau diberi amaran bertulis mengenai pemakaian purdah dan burqa di tempat awam, tetapi mereka telah diberi publisiti meluas.
Pihak berkuasa Perancis menganggarkan hanya 2,000 wanita, berbanding jumlah penduduk Islam kira-kira enam juta orang, yang memakai purdah atau burqa.
Parlimen Belgium juga telah meluluskan undang-undang yang mengharamkan purdah di tempat awam tetapi belum menguatkuasakannya, manakala pemimpin berhaluan kanan di Belanda mengesyorkan pengharaman burqa dan parti berhaluan kanan Liga Utara di Itali melobi supaya pengharaman seperti di Perancis dikuatkuasakan.
"Eropah sudah mula menjadi bumi pengharaman, dan bukan lagi bumi kebebasan," kata Ihsanoglu pada forum di sini, yang bertujuan untuk meningkatkan persefahaman antara umat Islam dengan rakyat AS. - AFP, Utusan

No comments:

Post a Comment