Pages

Thursday, April 14, 2011

Bayar tebusan RM10j



HUTAN MELINTANG: Nelayan dan pemilik bot pukat tunda tempatan mendakwa hampir muflis akibat terpaksa membayar wang tebusan hampir RM10 juta kepada lanun atau pihak berkuasa Indonesia bagi membebaskan anak kapal atau bot mereka yang dirampas sebelum ditawan di negara jiran.
Difahamkan, kegiatan lanun dan pihak berkuasa negara jiran yang sengaja menceroboh perairan Malaysia sebelum merampas bot pukat tunda nelayan tempatan bukan perkara baru berikutan berlarutan sejak puluhan tahun lalu.


Perkara itu didedahkan Setiausaha Kerja Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Keh Jeh Hai, yang mendakwa pemilik bot pukat tunda di Hutan Melintang, di sini, kerugian besar akibat kegiatan pemerasan berlanjutan sejak 30 tahun lalu. Menurutnya, masalah bot nelayan Hutan Melintang diganggu lanun dan pihak berkuasa negara jiran itu banyak terjadi dan hampir setiap bulan menimpa nelayan tempatan.


“Setiap bot pukat tunda dirampas bernilai antara RM500,000 hingga RM1 juta bergantung kepada jenis peralatan penangkapan ikan dan peralatan komunikasi canggih digunakan.


“Biasanya, pemilik bot pukat tunda yang menjadi mangsa perlu membayar antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi membebaskan anak kapal dan bot pukat tunda dirampas,” katanya.


Menurutnya, aktiviti jenayah itu menyebabkan pemilik bot nelayan tempatan hampir gulung tikar akibat kerugian besar selain takut turun ke laut.


Beliau berkata, kawasan nelayan di Hutan Melintang di sini, mempunyai kira-kira 500 bot pukat tunda dengan jumlah 4,000 nelayan.


“Kawasan ini pusat pendaratan ikan basah terbesar di Semenanjung Malaysia dengan mencatat purata 28 peratus keseluruhan hasil tangkapan ikan negara setahun .
“Kami berharap Kementerian Pertahanan mengarahkan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan lebih kerap di perairan negara terutama membabitkan kawasan sempadan perairan antarabangsa,” katanya.


Menurutnya, langkah berkenaan diharap dapat menghalang kegiatan terbabit yang jelas mengganggu kegiatan dan pendapatan nelayan tempatan.


“Bagaimanapun kami berterima kasih terhadap campur tangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha menyelesaikan kes penahanan lapan bot nelayan Hutan Melintang oleh pihak berkuasa lndonesia, baru-baru ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Chia Soon Fook, berkata, pihaknya mendapat laporan dua bot pukat tunda dirampas dan ditarik ke perairan Indonesia semasa nelayan terbabit menangkap ikan di perairan negara ini kira-kira 45 batu nautika dari perairan antarabangsa 4 April lalu.


“Kes berkenaan kejadian terbaru selepas enam bot pukat tunda nelayan Hutan Melintang turut menerima nasib sama ketika sedang menangkap ikan di perairan tempatan beberapa bulan lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment