Pages

Sunday, April 17, 2011

Larangan burqa di Perancis sekadar mainan politik


Foto
PRESIDEN Perancis, Nicolas Sarkozy menunjukkan isyarat tangan ketika menyampaikan ucapan di Versailles, 12 April lalu.

Foto


SEORANG kanak-kanak berdiri berhampiran sepanduk Parti Jamaat-e-Islami Pakistan ketika tunjuk perasaan membantah pengharaman memakai burqa oleh kerajaan Perancis.


Sarkozy cuba sekat parti berhaluan kanan terus eksploitasi isu imigran, Islam

PADA 11 April lalu, Perancis menjadi negara Eropah pertama secara rasmi mengharamkan pemakaian penutup muka yang dikenali burqa, purdah atau niqab oleh wanita Islam, selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan tahun lalu.
Undang-undang baru itu segera menimbulkan kemarahan kumpulan dan organisasi Islam yang mendakwa tindakan bertujuan memencilkan umat Islam, manakala penyokong pengharaman berkata ia wajar diambil bagi membolehkan pendatang asing berintergrasi lebih baik dengan masyarakat setempat.

Sebelum ini pada 2004, Perancis mengharamkan pemakaian simbol agama secara di sekolah awam. Ia termasuk pemakaian tudung, salib, serban penganut Sikh dan sebarang simbol agama lain.

Keputusan yang diambil Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan jika kita melihat hala tuju politik di Eropah.

Isu kontroversi pengharaman burqa mempunyai tiga dimensi dalam politik Perancis. Pertama, tradisi sekular yang amat kuat di negara itu, kedua, kedatangan dan penghijrahan pendatang asing yang menjadi isu politik penting di semua negara Eropah Barat dan ketiga, integrasi etnik dan agama kumpulan minoriti dengan budaya kebangsaan Perancis.

Kebanyakan parti politik di Eropah, jika pun bukan semua, cuba menggunakan perbezaan pendapat mengenai kebanjiran kaum pendatang untuk mendapatkan faedah politik.
Antaranya termasuk kaedah menghalang kebanjiran pendatang dan pekerja asing, memperketat undang-undang imigresen, antaranya permohonan untuk menjadi warganegara selain meningkatkan tekanan ke atas golongan pendatang agar berintegrasi dengan nilai Eropah.

Tanpa ragu, dasar ini mendapat sokongan besar penduduk awam Perancis. Selain itu nilai sekular menjadi pegangan kuat masyarakat Perancis.

Sarkozy melihat langkah yang diambilnya sebagai satu kemenangan dalam usaha memperkukuh tradisi Eropah dan beliau semakin yakin apabila keputusannya mendapat sokongan besar rakyat Perancis.

Tanpa diragui, Islam dan pendatang akan menjadi dua isu utama dalam kempen pilihan raya presiden Perancis pada 2012.

Mengikut tinjauan terbaru parti Kesatuan Pergerakan Popular (UMP) pimpinan Sarkozy tidak mendapat sokongan menggalakkan dan semakin ketinggalan di belakang Parti Barisan Kebangsaan (NF). Berikutan itu beliau terpaksa mencari bahan perdebatan ‘lebih panas’ untuk menarik perhatian pengundi Perancis.

Kerajaan Perancis mengakui bahawa hanya kira-kira 2,000 wanita Islam memakai burqa berbanding lima juta penduduk Islam di negara itu.

Secara jelas undang-undang itu hanya sekadar ‘isyarat simbolik’ kerana ia tidak akan membabitkan majoriti wanita Islam di negara itu.

Apa yang pasti setakat ini ia tidak berkesan. Kerajaan Perancis sekadar cuba menangani dan menyelesaikan isu yang sebenarnya bukan suatu masalah.

Hanya sekumpulan kecil wanita Islam memakai burqa (Islam tidak mewajibkan pemakaian burqa).

Pada masa sama, larangan ini hanya bertujuan untuk menunjukkan bahawa nilai Barat mempunyai kuasa lebih besar hingga boleh memencilkan minoriti Islam di Perancis.

Ketika sebilangan ahli politik Perancis mempertahankan larangan ini sebagai tindakan membebaskan wanita daripada ‘penindasan’ hakikatnya, kebanyakan wanita negara itu memakai burqa atas kerelaan sendiri.

Dari perspektif ini, undang-undang itu mungkin gagal memenuhi matlamatnya untuk mempromosi integrasi, sebaliknya akan lebih memencilkan umat Islam.

Sejak hari pertama undang-undang itu dikuatkuasakan hingga kini, hanya dua wanita ditahan tetapi bukan atas kesalahan memakai burqa, sebaliknya kerana menyertai tunjuk perasaan membantah larangan itu dan enggan bersurai. Mereka dibebaskan beberapa jam kemudian.

Seorang lagi wanita, Kenza Drider, tiba di Paris dari bandar Avignon dengan menaiki kereta api dan memakai burqa, untuk menyertai tunjuk perasaan itu tanpa dicabar polis atau pihak berkuasa.

“Saya berbuat begini untuk menguji polis Perancis dan sebagai amaran terbuka bahawa saya akan terus memakai burqa. Undang-undang yang dikuatkuasakan adalah serangan kepada kebebasan hak peribadi dan agama saya,” katanya.

Di bawah undang-undang yang baru itu, mereka yang didapati melanggar peraturan, boleh didenda hingga 150 Euro (RM655), manakala seseorang yang memaksa orang lain memakai burqa boleh dihukum penjara hingga dua tahun.

Penganalisis berkata adalah amat sukar untuk membuktikan bahawa seseorang wanita dipaksa memakai burqa.

Undang-undang baru itu tidak membenarkan anggota polis atau pihak berkuasa menanggalkan burqa secara kekerasan atau memaksa mereka membukanya dikhalayak.
Mereka sebaliknya dikehendaki membawa wanita terbabit ke balai polis untuk disoal sebelum tindakan lanjut diambil.

Larangan yang dikuatkuasakan di Perancis boleh dianggap longgar atau tidak mempunyai kesan secara langsung, jika dibandingkan dengan peraturan keras pengharaman memakai tudung kepala yang dikuatkuasakan Turki, sebuah negara yang 95 peratus penduduknya beragama Islam sejak 1923.

Lebih menyedihkan, larangan dilaksanakan oleh kerajaan yang ditadbir secara keseluruhannya oleh pemimpin beragama Islam dan sehingga kini tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengubahnya.

Pada Mei 1999, pengharaman pemakaian tudung menimbulkan kegemparan di negara itu , apabila Merve Kackci dihalang daripada mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen kerana memakai tudung dan enggan mematuhi arahan meninggalkan dewan.

Perdana Menteri Bulen Ecevit menuduh beliau melanggar prinsip sekular dan beliau kemudian didakwa di mahkamah atas dakwaan provokasi kebencian agama.

Beberapa bulan kemudian kerajaan melucutkan kerakyatannya sebagai warga Turki apabila beliau didapati mempunyai kerakyatan Amerika.

Wanita yang hafaz al-Quran itu, kini menjadi profesor pelawat di Universiti Washington dan meneruskan kempen membantah larangan memakai tudung di Turki. Pada 2007 Mahkamah Hak Asasi Eropah, memutuskan bahawa tindakan kerajaan mengusir beliau dari bangunan parlimen Turki, melanggar hak asasi.

Pada 2000, seorang pelajar Nuray Bezirgan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah Turki atas dakwaan mengingkari arahan apabila memakai tudung ketika menduduki peperiksaan akhir. Mahkamah Hak Asasi bagaimanapun menyokong keputusan itu dan berpendapat ia sesuatu yang perlu.

Laporan Negara Turki 2007 menyatakan, wanita yang memakai tudung dan penyokong mereka berdepan tindakan disiplin dan risiko kehilangan kerja di sektor awam.
Mahkamah Agung Turki pada 2007, mahkamah memutuskan untuk menafikan hak seorang guru wanita daripada dinaikkan pangkat apabila beliau didapati memakai tudung di luar waktu bekerja.

Seorang pegawai imigresen di Kedutaan Kanada di Ankara pernah menyatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak dibenarkan memakai tudung ketika bertugas, tetapi wanita bertudung boleh bekerja di sektor swasta.

Pada April 2005, seorang profesor sains politik dengan pengkhususan membabitkan isu wanita di Universiti Bogazici di Istanbul berkata, wanita yang memakai tudung di negara itu menghadapi kesukaran mendapat kerja dalam kedua-dua sektor swasta dan kerajaan.

Ramai diantara mereka juga gagal mendapatkan rawatan di hospital kerajaan hanya semata-mata kerana memakai tudung.

Berbanding Perancis, keadaan di Turki jauh lebih sukar bagi wanita yang bertudung, apabila undang-undang dilaksanakan dengan keras dan ketat, sekali gus menjejaskan sistem kehidupan mereka.

Pertubuhan Islam dan kumpulan aktivis yang prihatin, perlu berusaha agar wanita Islam di Turki berpeluang menikmati kebebasan melaksanakan tuntutan agama dan memilih jalan hidup mereka sendiri.

Bagaimana masa depan pengharaman memakai burqa di Perancis? Apa yang jelas, bantahan demi bantahan yang datang seluruh pelusuk dunia, pasti menjadikan pelaksanaannya semakin sukar.
Berita Harian Online | Larangan burqa di Perancis sekadar mainan politik

No comments:

Post a Comment