Pages

Friday, April 1, 2011

Kerajaan awam Myanmar dicurigai


YANGON 31 Mac - Penjenamaan semula yang cuba dilakukan oleh Myanmar dengan membentuk sebuah kerajaan yang pada namanya awam disambut dengan sangsi di dalam dan luar negara hari ini.

Pengkritik bimbang junta tentera yang berkuasa sebelum ini akan terus memainkan peranan utama di sebalik tabir.
Akhbar-akhbar habis dijual di Yangon hari ini, sehari selepas bekas Jeneral Thein Sein mengangkat sumpah sebagai Presiden dan junta yang digeruni dibubarkan setelah hampir 50 tahun memerintah.
Namun tidak ramai yang melahirkan rasa optimis meskipun orde baru itu menarik perhatian rakyat.
Pengurus syarikat, Konaing berkata, Parlimen baru yang dikuasai oleh pegawai kanan tentera dan tidak disertai oleh pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi menjadi 'isu panas' di kalangan orang ramai.
"Rakyat tidak fikir perubahan akan berlaku di negara ini kerana para jeneral cuma 'menukar uniform'. Kami tidak menaruh harapan tinggi," katanya.
Penyerahan kuasa daripada junta tentera kepada kerajaan awam semalam berlangsung ekoran pilihan raya pertama di Myanmar dalam tempoh 20 tahun, pada November lalu.
Pilihan raya itu dicap oleh pengkritik sebagai sandiwara untuk membolehkan junta tentera terus memerintah di sebalik kerajaan awam, selain tercemar disebabkan dakwaan penipuan dan ketiadaan Suu Kyi serta partinya Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD). - AFP

No comments:

Post a Comment