Pages

Wednesday, March 30, 2011

Korban banjir di Thailand meningkat


BANGKOK: Banjir teruk yang melanda selatan Thailand mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang setakat ini.
Hampir sejuta orang terjejas akibat bencana itu, menurut kenyataan Jabatan Pencegahan Bencana.

Sejak hujan lebat enam hari lalu, enam orang terbunuh di Nakhon Si Thammarat, wilayah paling teruk terjejas dan seorang lagi di Phatthalung.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban berkata, usaha untuk membantu mangsa berdepan dengan kesukaran kerana cuaca buruk, termasuk angin kencang.

“Sebaik jarak penglihatan kembali normal, markas tentera wilayah selatan akan mengangkut bekalan keperluan kepada mangsa yang terkandas dan memindahkan pesakit,” katanya kepada wartawan.

Kejadian itu turut memaksa pembatalan perjalanan kereta api. Lapangan terbang di wilayah berkenaan juga terpaksa ditutup, termasuk di Samui, pulau peranginan popular. Dalam pada itu, 63 daerah di tujuh wilayah diisytiharkan sebagai zon kecemasan.

Cuaca sejuk luar musim itu juga mencetuskan masalah kepada industri pelancongan dengan 600 pengunjung gagal meninggalkan Samui ekoran pembatalan penerbangan Isnin lalu.

Lapangan terbang itu masih ditutup hingga semalam.
Banjir di seluruh Thailand hujung tahun lalu menyebabkan lebih 220 orang terbunuh dan menjejaskan kehidupan kira-kira 8.6 juta penduduk di 51 daripada 76 wilayah negara berkenaan. - AFP

No comments:

Post a Comment