Pages

Friday, February 18, 2011

Tentera kawal ibu kota Bahrain




SEJUMLAH penunjuk perasaan antikerajaan berlari selepas dikejar anggota-anggota polis di Manama semalam.


MANAMA - Tentera Bahrain mengerahkan sejumlah kereta kebal ke pusat bandar raya di sini dan berikrar untuk mengembalikan keamanan selepas serbuan ganas polis terhadap para penunjuk perasaan antipemerintah menyebabkan empat orang maut manakala puluhan lagi cedera.
Tunjuk perasaan yang diadakan itu bertujuan untuk meminta kuasa raja dilonggarkan selepas mereka melihat kejayaan tunjuk perasaan di Mesir pada minggu lalu.
Dalam tunjuk perasaan di Mesir, Hosni Mubarak bertindak meletakkan jawatan selepas sejuta penunjuk perasaan berhimpun menuntut beliau berundur selepas hampir 29 tahun memerintah.
Marah dengan tindakan kejam polis, sebuah kumpulan pembangkang Syiah terbesar di Bahrain, Persatuan Persetujuan Kebangsaan Islam menyatakan, ia merancang untuk bertindak menarik diri dari parlimen Bahrain.
Sejumlah penunjuk perasaan yang berang pula berhimpun di luar sebuah hospital, tempat mangsa-mangsa sedang dirawat sambil melaungkan slogan antipemerintah.
Semalam, anggota-anggota polis pencegah rusuhan menyerbu Dataran Pearl, di sini yang merupakan tempat tunjuk perasaan itu diadakan.
Anggota-anggota polis turut melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.
Kejadian tersebut menyebabkan beratus-ratus penunjuk perasaan lari untuk menyelamatkan diri.
Beberapa anggota pembangkang dan saksi berkata, sekitar 95 anggota penunjuk perasaan cedera dalam operasi tersebut yang dilancarkan tanpa amaran sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan.
"Mereka (anggota-anggota polis) menyerang dataran tersebut semasa ratusan orang sedang tidur dalam khemah-khemah," kata seorang saksi, Fadel Ahmad, 37.
Semasa operasi tersebut, beberapa letupan dan siren ambulans boleh didengari beberapa ratus meter dari dataran itu yang kini ditutup.
Penunjuk-penunjuk perasaan melarikan diri dengan dikejar pasukan keselamatan manakala, sebuah helikopter berlegar-legar untuk melakukan pemantauan.
Tunjuk perasaan di Bahrain yang disertai beribu-ribu orang adalah kesan demonstrasi di Mesir dan Tunisia baru-baru ini.
Para penunjuk perasaan itu berhimpun di dataran berkenaan sejak Selasa lalu selepas polis membunuh dua anggota penunjuk perasaan dalam satu tunjuk perasaan antikerajaan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment