Pages

Sunday, February 6, 2011

Penggodam Anonymous sasar Presiden Yaman





2011/02/05

Serang web pemimpin Sanaa selepas Tunisia, Mesir 

WASHINGTON: Kumpulan penggodam online global dikenali sebagai ‘Anonymous’ mengalih perhatian mereka ke arah Yaman selepas melakukan serangan siber ke atas laman web kerajaan Tunisia dan Mesir.
Laman web Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh, presidentsaleh.gov.ye, tidak dapat ditembusi kelmarin selepas anggota Anonymous menggesa serangan dilancarkan ke atas alamat web itu.
Luis Corrons, pengarah teknikal di PandaLabs, makmal pengesan malware untuk syarikat keselamatan komputer Panda Security, berkata anggota Anonymous ‘rasa mereka perlu menyokong rakyat negara terbabit.’ 

“Ia adalah perkara yang berlaku di seluruh dunia. Mereka fikir matlamatnya ialah memperoleh kebebasan untuk negara terbabit,” katanya lagi. 

Valleywag, sebuah blog Lembah Silikon dimiliki rangkaian Gawker, berkata serangan siber ke atas laman web rasmi kerajaan Yaman digelar ‘Operasi Yaman’ dalam ruang sembang Anonymous. 

Beribu-ribu penduduk Yaman melancarkan protes tunjuk kemarahan di Sanaa kelmarin sebagai menentang Saleh ketika bantahan ke atas Presiden Mesir Hosni Mubarak berterusan di Kaherah. 
Serangan ke atas laman web Yaman itu berlaku sehari selepas ‘aktivis penggodam atau hacktivist’ Anonymous meneruskan serangan ke atas parti pemerintah Mesir Parti Demokratik Nasional, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan lain. 

Penggodam mula menyerang laman web kerajaan Mesir 26 Januari lalu, menurut pakar komputer, sebagai sebahagian kempen digelar ‘Operasi Mesir’ sebelum pihak berkuasa menutup internet di sana. 

Serangan rawak dinamakan Tindakan Menyekat Perkhidmatan (DDoS) ke atas laman web rasmi Mesir diteruskan Rabu lalu selepas negara itu menyambung perkhidmatan internet. 

“Selamat datang ke Internet #Egypt. Penerimaan baik http://www.moiegypt.gov.eg – anda jangan berganjak,” kata anggota Anonymous dalam ruangan Twitter @AnonymousIRC. 

Serangan Anonymous bulan lalu menyebabkan laman web rasmi kerajaan Tunisia, ditutup termasuk laman pasaran saham dan web lain ketika satu kebangkitan popular menyebabkan penyingkiran diktator negara itu. 

Dalam satu serangan DDoS, banyak komputer diarahkan untuk melawat secara serentak satu laman web, membebankan pelayannya, melambatkan perkhidmatan atau menyebabkannya terputus hubungan sama sekali. 

Disember lalu, anggota Anonymous menyerang laman web Amazon, PayPal, Mastercard, Visa dan lain kerana menarik balik perkhidmatan mereka dalam WikiLeaks, laman web anti-kerahsiaan. – AFP 

No comments:

Post a Comment