Pages

Thursday, February 10, 2011

Kemboja nafi letak tentera di kuil purba PREAH VIHEAR, Kemboja 9 Feb. - Kemboja menafikan dakwaan Thailand yang menuduh tenteranya menggunakan kuil p


Kemboja nafi letak tentera di kuil purba

PREAH VIHEAR, Kemboja 9 Feb. - Kemboja menafikan dakwaan Thailand yang menuduh tenteranya menggunakan kuil purba Preah Vihear di kawasan sempadan yang dipertikai sebagai pangkalan tentera, sekali gus memarakkan lagi perang mulut antara kedua-dua negara itu, hari ini.
Thailand menuduh Kemboja menempatkan tentera di kuil tersebut dan melepaskan tembakan ke arah tentera Thai di sempadan, sehingga membuatkan mereka tiada pilihan selain membalas semula serangan tersebut.
Kementerian Luar Kemboja dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia menolak sekeras-kerasnya dakwaan berunsur fitnah itu dengan menegaskan pihaknya tidak pernah menempatkan tentera di kuil Preah Vihear.
"Kuil ini adalah destinasi pelancongan dan untuk upacara agama. Hanya sebilangan kecil anggota polis dengan senjata ringan ditempatkan bagi mengawal keselamatan kawasan ini," jelas kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, wartawan Associated Press hari ini melaporkan, beratus-ratus tentera Kemboja ditempatkan di dalam dan di luar kawasan kuil berkenaan yang turut diperkuat dengan beg-beg pasir yang membentuk kubu.
Jurucakap tentera Thai, Kolonel Sansern Kaewkamnerd mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa kehadiran tentera Kemboja di kuil purba tersebut.
"Ia memang ketara. Anda boleh lihat gambar-gambar termasuk yang diambil oleh mereka. Memang ada tentera ditempatkan di sana. Tentera itu melepaskan tembakan ke arah kami," katanya.
Di sempadan Thai, kira-kira 20 kereta kebal dikerahkan ke sebuah kem tentera di daerah Kantaralak, wilayah Sri Sa Ket berhampiran sempadan yang dipertikai, tetapi pegawai tentera Thai berkata ia bukan untuk memperkuat tentera mereka.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, badan yang dianggotai 15 negara itu mungkin membincangkan isu berkenaan pada minggu depan selepas Washington, China dan ASEAN mengeluarkan kenyataan menggesa kedua-dua pihak mengawal keadaan.
Jurucakap Kementerian Luar Thai, Thani Thongpakdi berkata, rundingan dua hala mungkin akan dilaksanakan di New York Isnin ini apabila Menterinya, Kasit Piromya dijangka memberi taklimat ringkas kepada Majlis Keselamatan PBB.
Turut dijangka hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Luar Kemboja, Hor Namhong dan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa. - AP/ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment