Pages

Monday, February 21, 2011

Bantahan Libya dihujani misil





2011/02/21


  • Foto
    PENUNJUK perasaan antikerajaan Libya berhimpun di hadapan Rumah Putih, Washington.
  • Foto
    IMEJ rakaman video menunjukkan keadaan seorang lelaki yang ditembak di kepala dalam siri demontrasi di Benghazi.
  • Foto

  • Lebih 100 penunjuk perasaan terbunuh



  • Ulama rayu henti pembunuhan
    BENGHAZI: Senjata berat, termasuk misil antipesawat, didakwa digunakan ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi di Libya dengan jumlah kematian dilaporkan melebihi 100 orang sejak bantahan ala Mesir tercetus minggu lalu.“Kereta kebal dan helikopter dengan membawa askar upahan asing bertempur dengan penunjuk perasaan. Sekurang-kurangnya seorang terbunuh akibat terkena misil antipesawat, manakala beberapa mayat didapati ditembak mesingan berat,” kata seorang penyelaras perubatan wilayah di sini.

    Seorang pegawai hospital pula mengesahkan salah seorang yang terbunuh, mati akibat terkena peluru berpandu antipesawat di kepala dan dada.

    Hospital itu dibanjiri mangsa dan ramai penduduk tampil untuk menderma darah.
    “Kebanyakan yang mati dan cedera adalah saudara mara kepada doktor di sini,” katanya.

    “Mereka (doktor) menangis dan saya merayu kepada mereka agar tabahkan hati dan membantu mereka yang cedera.”
    Selain Benghazi, pertempuran juga dilaporkan tercetus di Al-Bayda, Ajdabiya, Zawiya, dan Darnah, dengan beberapa saksi menyatakan bom Molotov, raifal dan pedang antik Arab digunakan penunjuk perasaan.

    Penunjuk perasaan di Ajdabiya mengisytiharkan bandar mereka ‘merdeka’ selepas membakar ibu pejabat Jawatankuasa Revolusi yang diketuai oleh pemimpin Libya Muamar Gaddafi, bersama-sama 14 bangunan lain.

    Laporan juga menyatakan ramai orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, mati ketika melompat dari jambatan untuk melarikan diri dari tentera upahan asing yang disyaki didatangkan dari negara jiran seperti Chad.

    “Berpuluh terbunuh ... kami sedang berada di tengah-tengah medan pembunuhan kejam di sini,” seorang saksi memberitahu Reuters. Lelaki itu berkata beliau sendiri membantu membawa mangsa cedera ke hospital di Benghazi.

    Saksi itu berkata, pasukan keselamatan berundur ke kawasan berpagar di tengah bandar itu selepas menembak orang ramai yang pulang daripada upacara pengebumian penunjuk perasaan yang terbunuh pada hari sebelumnya.

    Tindakan berdarah pasukan keselamatan mendorong kira-kira 50 pemimpin agama di Libya mengemukakan rayuan yang dihantar kepada agensi berita Reuters meminta pembunuhan dihentikan.

    “Ini adalah rayuan segera daripada pemimpin agama, ulama, ahli pendidikan dan pemimpin puak dari Tripoli, Bani Walid, Jadu, Msalata, Misrata, Zawiah dan bandar serta perkampungan di kawasan barat.

    “Kami meminta kepada setiap Muslim di dalam rejim atau yang membantunya dalam apa juga cara, untuk mengakui bahawa membunuh orang yang tidak bersalah adalah dilarang oleh Allah dan Rasul. Jangan bunuh saudara anda. Henti pembunuhan sekarang juga!,” kata kenyataan itu. – Reuters/Agensi


  • Berita Harian Online

    No comments:

    Post a Comment